arena

Bermudez yakin Cavani sertai Boca Juniors

Oleh Agensi

PENGARAH Sukan Boca Juniors, Jorge Bermudez berharap bintang Paris Saint-Germain, Edinson Cavani akan menyertai gergasi Argentina itu tidak lama lagi.

Kontrak Cavani tamat pada Jun ini dan pemain kebangsaan Uruguay itu dikaitkan meninggalkan PSG berikutan gagal dalam perpindahan ke Atletico Madrid pada Januari lalu.

Pemain berusia 33 tahun itu antara penjaring Terbanyak dalam sejarah PSG dan dilaporkan menjadi sasaran bagi kelab baru francais MLS, Inter Miami.

Tapi Bermudez percaya Boca, di mana legenda kelab itu Juan Roman Riquelme yang kini naib presiden, boleh membawa penyerang PSG berkenaan ke Buenos Aires.

“Mengenali Riquelme dan hubungan rapat bersama (bekas pemain antarabangsa Uruguay, Diego) Forlan, dan mengetahui kategori yang diperlukan Cavani, diharap ia akan menjadi kenyataan tidak lama lagi,” kata Bermudez kepada Radio Cooperativa.

“Dia membantu kami sepenuhnya dan sangat berkerja sama. Saya fikir dia mahu datang ke Boca.”

Tambah Bermudez : "Jika dia datang ia adalah kemahuan yang sebenar dan petanda itu adalah jelas.”

Sepanjang tempoh sebelum penangguhan Ligue 1 dan bola sepak susulan Covid-19, Cavani menjaringkan tujuh gol dalam semua kejohanan pada 2019-20.

Cavani menyifatkan Paris sebagai kediamannya sejak menyertai PSG dari Napoli pada 2013.

Disiarkan pada: April 1, 2020 @ 1:10pm
d