arena

Guna tong gas untuk berlatih

Oleh Mohd Rafi Mamat

BADANG Sukan Malaysia (Sukma) Pahang kini menjadikan tong gas seberat 14 kilogram (kg) sebagai peralatan alternatif melakukan latihan di rumah ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) disebabkan pandemik Covid-19.

Peralatan lain yang turut digunakan sebagai pemberat ketika berlatih secara sendirian ialah batang besi dengan berat 20kg dan rim kereta, mereka juga mendaki bukti sambil berlari.

Bagi Muhammad Taufiq Hidayat Norman yang beraksi dalam kategori 109kg, dia meluangkan masa antara sejam hingga dua jam sehari melakukan latihan di rumah menggunakan tong gas dan batang besi.

Katanya, untuk mengekalkan kecergasan dan kekuatan dia terpaksa meneruskan latihan di rumah selepas dibenarkan pulang ke kampung, sebelum ini dia tinggal di asrama pusat pembangunan sukan angkat berat di Rompin.

Menurutnya, dia terpaksa menggunakan tong gas dan batang besi seberat 20kg bagi menggantikan peralatan latihan yang biasa digunakan di dewan pusat latihan.

“Sebelum ini ramai jiran pelik melihat saya mengangkat tong gas setiap hari namun selepas diterangkan akhirnya mereka faham dan tidak lagi membuat pelbagai andaian.

“Mengangkat tong gas lebih ringan berbanding menanggung bebanan besi yang biasa digunakan,” katanya yang menetap di Felda Panching Utara, di sini.

Beliau yang kini belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Rompin berkata, jurulatih yang mencadangkan untuk semua atlet angkat berat Pahang mengunakan tong gas untuk berlatih.

Bagi Noorshahida Mohamad Saiffol Azami, dia menggunakan tong gas dan rim kereta untuk berlatih setiap hari antara sejam hingga dua jam sepanjang PKP.

Bersaing dalam kategori 87kg, dia menggunakan tong gas memasak di dapur untuk berlatih, walaupun kurang selesa tetapi terpaksa melakukannya bagi mengekalkan kecergasan dan kekuatan.

“Saya juga menggunakan dua rim kereta yang diikat pada palang besi kemudian mengangkat dan menjulangnya, latihan itu bagi mengekalkan teknik angkatan selain menguatkan bahagian tangan.

“Ini kali pertama saya menggunakan tong gas dan rim kereta untuk berlatih, walaupun tidak selesa tetapi terpaksa juga dilakukan,” katanya yang berasal dari Felda Bukit Kuantan.

Disiarkan pada: April 1, 2020 @ 5:17pm
d