arena

Amaran Poad

Oleh Aida Adilah Mat

JURULATIH pecut negara, Mohd Poad Md Kassim memberi amaran kepada barisan atlet di bawah bimbingannya untuk terus kekal cergas sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ini kerana tempoh 24 hari tanpa sebarang latihan di luar mampu membuatkan prestasi mereka akan merosot.

Namun jika mereka mengikuti segala arahan yang diberikan mungkin tiada masalah buat atlet negara terutama raja pecut Asia Tenggara, Haiqal Hanafi untuk kembali ke puncak prestasi sebenar.

“Ketika ini saya mengharapkan Haiqal diberi peluang untuk beraksi di Olimpik Tokyo atas tiket ‘wild card’. Jadi dia perlu terus kekal aktif dan bersedia.

“Tapi jika mereka kekal cergas biarpun dalam tempoh PKP ini, insya-Allah dalam sebulan dua mereka boleh dapat balik prestasi mereka,” katanya.

Tahun 2021 pastinya tahun yang paling sibuk buat pelari pecut negara itu. Andai terpilih ke Olimpik pastinya dia perlu merencanakan jadual latihannya dengan lebih teratur.

Apa tidaknya, temasya Sukan Malaysia (Sukma), Sukan Sea Vietnam dan Olimpik Tokyo akan berlangsung pada tahun yang sama selepas Olimpik dan Sukma terpaksa ditunda berikutan penularan wabak Covid-19.

Begitupun masih belum ada sebarang keputusan berhubung tarikh baru Sukma dan syarat penyertaan selepas temasya dwi tahunan yang sepatutnya berlangsung di Johor dari 11 hingga 19 Julai terpaksa ditunda.

Disiarkan pada: April 1, 2020 @ 5:41pm
d