arena

Alex bimbang pancit

Oleh Mohd Rafi Mamat

TIADA istilah berehat panjang dan bersenang lenang buat pemain Kedah, Mohd Azamuddin Md Akil sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berikutan pandemik Covid-19 ketika ini.

Sebagai pemain profesional tanggungjawab memberi persembahan terbaik kepada pasukan perlu dilakukan sepanjang masa.

Justeru untuk memastikan sentiasa cergas latihan perlu sentiasa dilakukan.

Mohd Azamuddin berkata, walaupun tidak dibenarkan keluar rumah dalam tempoh panjang namun latihan tetap perlu dilakukan secara berterusan mengikut kemampuan.

Katanya, kecergasan diberi keutamaan dalam bola sepak bagi memastikan persembahan terbaik dapat dipamerkan mengikut rancangan diatas padang sama seperti yang kehendaki jurulatih serta rakan sepasukan.

Menurut Mohd Azamuddin atau lebih mesra disapa Alex, berkata dia meluangkan masa sejam sehari pada sebelah pagi untuk melakukan pelbagai teknik latihan kecergasan di rumah.

“Walaupun kurang selesa tapi ia tetap perlu dilakukan dengan penuh disiplin dan bersungguh-sungguh.

“Saya sayangkan kerjaya yang dibina sejak sekian lama, sekiranya prestasi tidak dapat dikenalkan hanya kerana kecuaian sendiri akibatnya masa depan akan musnah," katanya.

Dia berkata, jurulatih Kedah Aidil Sharin Sahak sebelum ini banyak kali mengingatkan kepada pemain skuad Lang Merah supaya berusaha mengekalkan kecergasan serta menjaga berat badan.

Mohd Azamuddin yang sebelum ini pernah bersama Pahang dan Johor Darul Ta'zim (JDT) berkata, pemain bola sepak kini terpaksa mengadakan latihan kecergasan di rumah dalam memastikan tidak berlaku episod pancit apabila saingan Liga Malaysia (Liga M) nanti, setiap hari latihan ringan perlu dilakukan secara berterusan.

"Selepas berehat beberapa hari kerana kecederaan pecah kuku kaki ketika perlawanan Kedah dengan JDT sebelum ini, kini disambung pula dengan PKP yang disebabkan wabak Covid-19, ujian berkenaan perlu saya hadapi dengan penuh sabar serta bijak.

"Saya juga merayu kepada rakyat negara ini supaya dapat mematuhi arahan kerajaan supaya tidak keluar rumah dalam usaha memutuskan rangkaian wabak Covid-19 yang begitu merbahaya serta boleh mengundang kematian.

"Saya yakin sekiranya rakyat dapat patuh arahan PKP tidak mustahil negara lebih cepat bebas daripada pandemik berkenaan, kini hanya terpulang kepada kita untuk mengubah keadaan," kata pemain kelahiran Kuala Lipis itu.

Disiarkan pada: April 2, 2020 @ 2:55pm
d