arena

Tak jejas Projek 24

Oleh Ferzalfie Fauzi

PERSATUAN Badminton Malaysia (BAM) mengakui perubahan tarikh baharu Sukan Olimpik 2020 pada Julai tahun depan tidak mengganggu perancangan Projek 24.

Setiausaha Agung BAM, Datuk Kenny Goh berkata mereka hanya akan melakukan sedikit perubahan untuk perancangan 2020 dan 2021 yang disebut sebagai persinggahan menuju ke Projek 24.

“Apa saja keputusan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) kita akan ikut kerana ia adalah kebaikan untuk semua pihak termasuk atlet dan pegawai,” katanya ketika dihubungi Arena Metro hari ini.

Menurutnya, walaupun keputusan IOC itu sukar dibuat namun ia adalah sangat tepat dan mereka sekarang ini menunggu pula perancangan Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

“Kita hanya menunggu BWF membuat keputusan mengenai kriteria dan tempoh kelayakan ke Olimpik 2020. Selepas itu kita akan kaji balik dan mengubah sedikit perancangan.

“Apa yang perlu diubah hanyalah persinggahan (kejohanan besar) yang kita tetapkan untuk 2020 dan 2021. Kita perlu tengok balik perkara ini selepas pengumuman dibuat BWF,” katanya.

BAM melalui Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan (C&T) September tahun lalu tampil dengan perancangan baru diberi nama 'Projek 24'.

Antara objektif utama Projek 24 ialah meletakkan sasaran untuk meraih emas di Sukan Olimpik Paris 2024 dan mara ke final Piala Thomas tahun berkenaan.

Semua pemain badminton negara sekarang berada di rumah rumah masing-masing berikutan Perintah Kawalan Pergerakan yang dilaksanakan oleh pihak kerajaan bagi memerangi penularan wabak Covid-19.

Kenny juga memberitahu, walaupun berada di rumah jurulatih setiap bahagian memantau, berhubung dan mengadakan latihan melalui atas talian.

Disiarkan pada: April 2, 2020 @ 3:01pm
d