arena

Heung-min jadi anggota tentera

Oleh AFP

BINTANG Tottenham Hotspur dari Korea Selatan, Son Heung-min akan melaporkan diri ke kem latihan tentera hujung bulan ini untuk memenuhi perkhidmatan ketenteraan.

Kesemua individu lelaki yang sihat tubuh badan di Korea Selatan wajib menyertai perkhidmatan ketenteraan selama hampir dua tahun.

Bagaimanapun, Heung-min berjaya menangguhkan seketika perkhidmatan ketenteraan itu selepas Korea Selatan meraih pingat emas pada Sukan Asia 2018 di Indonesia sekali gus menyaksikan pasukan menerima pengecualian.

Penyerang Spurs itu dilihat mengalirkan air mata kegembiraan ketika pasukannya berjaya menewaskan Jepun 2-1 selepas masa tambahan bagi membolehkannya memperoleh pengecualian ketika hanya tiga minggu sahaja untuk menyertai sesi latihan asas ketenteraan dan 500 jam perkhidmatan kemasyarakatan.

Aksi pemain berusia 27 tahun itu pada musim ini berakhir sebelum pandemik Covid-19 melanda Eropah apabila dia mengalami kecederaan patah pergelangan tangan ketika bertemu Aston Villa pada 16 Februari dan Spurs kemudian menyatakan dia kembali ke Korea Selatan atas urusan peribadi.

Heung-min akan melaporkan diri di kem latihan di pulau Jeju pada 20 April untuk menjalani latihan asas, kata satu sumber kepada media tempatan.

Liga Perdana ditangguhkan sehingga sekurang-kurangnya 30 April kerana pandemik Covid-19 dan dijangka akan ditangguhkan lagi untuk tempoh lebih lama.

Disiarkan pada: April 2, 2020 @ 8:14pm
d