arena

'Saya perlu kekal positif'

Oleh Aida Adilah Mat

TEMPOH Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang diarahkan oleh kerajaan memberi ruang kepada penerjun lelaki negara, Chew Yiwei memulihkan kecederaan pada kaki kiri yang dialaminya beberapa bulan lalu.

Ditambah dengan penundaan tarikh Kejohanan Piala Dunia yang sepatutnya berlangsung di Tokyo April ini ditunda ke Jun, ia memberi tempoh yang cukup untuk atlet kelahiran Selangor itu bersedia menghadapi kejohanan kelayakan terakhir ke Olimpik itu.

Ditanya acara apa yang akan disertainya, pemenang pingat gangsa Sukan Asia Jakarta dalam acara 3 meter papan anjal itu berkata, selain daripada acara individu dia turut akan memberi fokus dalam acara seirama bersama-sama Ooi Tze Liang.

“Peluang untuk layak ke temasya Olimpik masih terbuka. Bagaimanapun saya perlu berusaha keras lagi kerana masih ramai lagi penerjun yang turut sama berusaha untuk ke Olimpik.

“Jadi sekarang ini saya perlu terus kekal positif biarpun hampir sebulan tidak turun ke kolam kerana PKP tapi semua atlet di dunia pun sekarang ini berdepan masalah yang sama,” katanya.

Untuk layak ke Olimpik dalam acara terjun lelaki, atlet perlu menduduki kelompok 18 terbaik dalam acara individu dan empat terbaik dalam acara seirama di Piala Dunia nanti.

Ditanya sama ada PKP akan merencatkan gaya terjunannya Yiwei berkata, dia akan cuba positif dan akan bermula dari kosong apabila kembali ke kolam semula.

Ketika ini seramai empat penerjun negara terdiri Mun Yee, Pendelela Rinong, Wendy Ng dan Nur Dhabitah Sabri berjaya melayakkan diri ke temasya berkenaan ketika penerjun lelaki negara masih bergelut untuk merebut tempat.

Empat tahun lalu di Rio penerjun lelaki negara diwakili Ooi Tze Liang bersama Ahmad Amsyar Azman dan negara berjaya membawa pulang satu perak menerusi gandingan Pandelela bersama Cheong Jun Hoong dalam acara 10m platform seirama.

Disiarkan pada: April 2, 2020 @ 8:46pm
d