arena

Pemain bola sepak Inggeris perlu kongsi beban kewangan

Oleh AFP

PERSATUAN Pemain Bola Sepak Profesional England (PFA) menegaskan mereka sedar pemain perlu berkongsi beban kewangan sepanjang krisis Covid-19 ketika pertikaian mengenai pemotongan gaji bintang Liga Perdana Inggeris semakin memuncak.

Setiausaha Kesihatan Britain, Matt Hancock menggesa pemain kelab utama untuk menerima pemotongan gaji selepas beberapa kelab meletakkan kakitangan bukan pemain di bawah skim pengekalan pekerjaan oleh kerajaan untuk menjimatkan wang.

Menurut Hancock, pemain Liga Perdana seharusnya membuat sumbangan dengan menerima pemotongan gaji.

Musim Liga Inggeris ditangguhkan sehingga sekurang-kurangnya 30 April susulan pandemik Covid-19 dan peluang amat tipis untuk ia kembali disambung.

Pemain bintang yang menerima gaji lumayan tetap dibayar penuh sepanjang krisis Covid-19 memberikan imej buruk kepada PFA dan Liga Perdana.

Terutama dengan Tottenham Hotspur, Newcastle United dan Norwich City yang meletakkan kakitangan bukan pemain di bawah skim pengekalan pekerjaan kerajaan untuk menjimatkan wang.

Tekanan kini semakin memuncak untuk pemain menerima pemotongan gaji dan perbincangan lanjut dijangka dilakukan membabitkan PFA, Liga Perdana dan Liga Bola Sepak Inggeris.

PFA membayangkan satu penyelesaian menerusi kenyataan yang dikeluarkan: “Kami menerima sepenuhnya pemain perlu bertolak ansur dan berkongsi beban kewangan susulan pandemik Covid-19 yang melanda ketika ini.

“Ia penting bagi menjamin masa depan kelab mereka. Nasihat kami kepada pemain pada masa ini adalah menerima harapan yang diletakkan,” menurut kenyataan itu.

Pengurus Bournemouth, Eddie Howe dan rakan sejawatnya di Brighton, Graham Potter menjadi antara yang terawal dalam saingan Liga Perdana Inggeris menawarkan gaji mereka dipotong susulan pandemik Covid-19.

Disiarkan pada: April 3, 2020 @ 10:24am
d