arena

Bimbang berat badan naik

Oleh Mohd Rafi Mamat

SRIKANDI silat negara, Siti Rahmah Mohamed Nasir perlu sentiasa mengekalkan kecergasan walaupun tidak berpeluang menyertai banyak kejohanan musim ini berikutan wabak Covid-19 yang berlaku di banyak negara.

Menurutnya, walaupun negara kini sedang melalui Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang membataskan pergerakan namun dia tetap mengadakan latihan setiap hari mengikut jadual yang disediakan dua jurulatih Mazlan Shaari dan Hamidah Mulok.

"Saya meluangkan masa dua jam sehari iaitu pagi dan petang untuk mengadakan latihan kecergasan bagi mengelak badan menjadi lemah, lesu dan berat badan bertambah sekiranya terlalu lama berehat di rumah.

"Ada kejohanan atau pun tiada jadual latihan tetap perlu diikuti, saya bimbang rentak atau teknik silat yang ada akan hilang disebabkan melalui tempoh rehat yang panjang," katanya.

Menurut juara dunia empat kali berturut-turut (2012-2018) itu, dia sepatutnya menyertai sekurang-kurangnya lima kejohanan silat peringkat antarabangsa di beberapa negara namun tidak dapat berbuat demikian berikutan penularan wabak Covid-19 yang tidak dijangka semua pihak.

Siti Rahmah yang kini menetap di Kuala Terengganu bersama keluarga berkata, dia hanya sempat bersaing pada Kejohanan Silat Terbuka Uzbekistan, awal Januari lalu dan berjaya meraih pingat emas dalam kategori Kelas E Putri.

Kejayaan itu boleh dianggap membanggakan berikutan kehadiran ramai pesilat terbaik dunia.

Katanya, dia juga tersenarai untuk bersaing pada Kejohanan Pencak Silat Ke-20 Dunia di Kuching, Sarawak yang dijangka diadakan hujung tahun ini, kejohanan itu bakal menghimpunkan ramai jaguh dunia yang mewakili negara masing-masing.

Beliau berkata, turut bersaing pada kejohanan dikendalikan Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA) itu ialah jaguh negara Mohd Al-Jufferi Jamari dan beberapa pesilat lain yang akan memburu kejayaan dalam pelbagai kategori dipertandingkan.

Disiarkan pada: April 3, 2020 @ 11:20am
d