arena

Tak wajib hantar video latihan

Oleh Asrol Awang

SEMUA pemain Felda United tidak wajib untuk menghantar video rutin harian mereka berlatih sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pengendali The Fighters, Mohd Nidzam Jamil berkata, sebagai pemain profesional, beliau percaya anak buahnya memahami tanggungjawab masing-masing sebagai pemain bola sepak.

Katanya, pada masa sama, jurulatih kecergasan turut memberikan program khas kepada semua pemain dalam usaha mengekalkan stamina biarpun tidak mencapai tahap kecergasan tinggi seperti latihan bersama pasukan.

"Bagi saya, mustahil pemain bola sepak cergas secara 'football fitness' dengan berlatih seorang diri di ruang rumah.

"Oleh itu, jurulatih kecergasan juga ada membuat beberapa latihan secara atas talian secara langsung dengan pemain bagi mengelakkan rutin latihan sendirian sama.

"Latihan ini adalah yang terbaik sebagai bekalan untuk menghadapi latihan untuk diteruskan nanti jika PKP tamat dalam masa terdekat," katanya.

Namun, Mohd Jamil yang juga bekas pemain kebangsaan meminta semua pemain termasuk keluarga mereka kekal sihat serta bebas daripada jangkitan Covid-19.

"Isu kesihatan menjadi perkara paling utama saya tekankan dan diharapkan pemain juga mengamalkan pemakanan seimbang," katanya.

Mengulas inisiatif Felda United mewujudkan kutipan sumbangan dalam meringankan dan membantu kerajaan menangani wabak Covid-19, Mohd Nidzam berterima kasih di atas keprihatinan kelab termasuk barisan kejurulatihan dan pemain yang turut sama menghulurkan sumbangan.

Katanya, sumbangan ikhlas itu diharap membantu petugas barisan hadapan khususnya Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan individu yang terkesan terutama di kalangan warga Felda.

Disiarkan pada: April 3, 2020 @ 12:52pm
d