arena

Perlu berbincang cari situasi `menang-menang'

Oleh Mohd Amin Jalil

“Dalam hal ini, kita (pemain) boleh bertolak ansur tetapi perbincangan antara kedua-dua pihak (pemain dan majikan) perlu diadakan terlebih dulu supaya satu keputusan yang ‘menang-menang’ boleh dicapai,” kata pemain tengah Negeri Sembilan, Shahurain Abu Samah.

Pemain berpengalaman berusia 33 tahun itu berkata, mana-mana pemain pun tidak akan bersetuju jika gaji mereka dikenakan pemotongan kerana persetujuan bersama itu dicapai sebelum menandatangani kontrak.

Beliau bagaimanapun berpandangan, ada pemain yang sedar bahawa mana-mana pasukan akan berhadapan dengan masalah kewangan susulan penularan wabak Covid-19 yang menyebabkan saingan Liga Malaysia (Liga-M) ditanggguhkan.

Katanya, pemain juga akui mana mungkin mereka harus menerima gaji sepenuhnya sepanjang saingan liga ini ditangguhkan, sedangkan tiada perlawanan bola sepak yang mereka perlu diharungi untuk suatu tempoh yang panjang.

”Kami (pemain) juga terfikir tentang hal ini dan sebab itu perlu ada perbincangan lanjut antara kedua-dua pihak kerana pemain mempunyai kontrak dengan pasukan.

”Pengurusan pasukan perlu mengambil kira kepentingan dan kebajikan pemain kerana kami mempunyai tanggungan ahli keluarga selain komitmen lain seperti pembiayaan pembelian rumah, kereta atau sebagainya.

”Jika potongan gaji pemain itu perlu dibuat bagi meringankan beban kewangan persatuan, ia perlu dilakukan dengan menetapkan satu kadar yang berpatutan selain mendapat persetujuan bersama kedua-dua pihak,” katanya di sini, hari ini.

Isu pemotongan gaji pemain hangat diperkatakan oleh pelbagai pihak susulan penangguhan Liga-M ketika ini angkara wabak Covid-19, yang belum pasti akan berakhir.

Shahurain yang pernah beraksi dengan banyak pasukan antaranya Felda United, PKNS FC dan Polis Diraja Malaysia (PDRM), menegaskan pihak memegang taruh Liga-M perlu duduk berbincang dan mencari pendekatan terbaik supaya situasi ‘menang-menang’ dapat dicapai.

Menurutnya, walaupun keputusan itu boleh dibuat menerusi persatuan atau kelab dianggotai pemain, tetapi biarlah satu SOP (Peraturan Operasi Standard) yang boleh diguna pakai, yang akhirnya memberikan situsi menang-menang kedua-dua pihak.

”Walaupun ketika ini penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dijalankan tetapi pemain masih melakukan latihan di rumah masing-masing.

”Tanggungjawab sebagai pemain masih terus dilakukan walaupun dalam keadaan yang terbatas,” kata pemain kelahiran Kajang, Selangor itu.

Tambah Shahurain, setakat ini perkara itu tiada dibincangkan oleh majikannya, Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS), namun dia dan rakan lain pastinya sedia duduk semeja.

”Kami akan ikut arahan majikan dan sedia berbincang, namun setakat ini perrkara itu belum lagi dilakukan,” katanya.

Disiarkan pada: April 3, 2020 @ 7:29pm
d