arena

'Tocang' manfaatkan PKP untuk kembali cergas

Oleh Asrol Awang

DI sebalik arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilanjutkan sehingga 14 April ini, pemain pertahanan Pahang, Mohd Faisal Rosli kini berusaha mengembalikan tahap kecergasan.

Ini kerana Mohd Faisal atau ‘Tocang’ baru sahaja menjalani latihan ringan Ahad lalu, selepas berdepan masalah kecederaan buku lali kanan.

Justeru, pemain kelahiran Kuala Rompin, Pahang itu mengharapkan prestasi terbaik dapat dipersembahkan sebaik saingan Liga Malaysia (Liga M) bersambung nanti.

“Sebenarnya, saya baru jalani latihan ringan di rumah selepas kecederaan buku lali yang dialami ketika bertemu PJ City FC lalu sudah menunjukkan petanda positif.

“Biarpun masih terasa sedikit kesakitan, saya gembira kerana sudah mampu untuk berlatih biarpun bukan dilakukan secara agrestif.

“Tapi ia sudah memadai untuk memastikan tahap kecergasan berada pada prestasi terbaik dan bersedia untuk kembali bersama pasukan,” katanya.

Mohd Faisal berkata, segalanya turut dilakukan mengikut tips daripada jurulatih kecergasan untuk memastikan latihan yang dilakukan menepati arahan yang disampaikan.

Katanya, sejak menjalani latihan lima hari lalu, tahap kecergasannya juga menunjukkan peningkatan.

“Sebaik saingan Liga M bersambung nanti, saya mahu kembali berada dalam senarai kesebelasan utama selepas terlepas dua perlawanan akibat kecederaan yang dialami.

“Biarpun terpaksa bersaing, saya mahu kembali menjadi tonggak utama pasukan untuk meletakkan Pahang pada kedudukan terbaik dalam Liga Super musim ini,” katanya.

Dalam saingan Liga Super musim ini, pemain berumur 29 tahun itu terlepas dua perlawanan ketika bertemu Sabah dan Melaka United selepas mengalami kecederaan ketika skuad Tok Gajah tewas 2-3 kepada PJ City pada 6 Mac lalu.

Disiarkan pada: April 3, 2020 @ 7:32pm
d