arena

Pesawat peribadi Messi lakukan pendaratan cemas

Oleh Agensi

JET peribadi bernilai 12 juta pound (RM64 juta) milik bintang bola sepak Barcelona, Lionel Messi terpaksa melakukan pendaratan cemas di lapangan terbang di Brussels berikutan berlaku masalah teknikal pada pesawat berkenaan.

Pesawat pemain kelahiran Argentina itu dalam perjalanan menuju ke Tenerife di Pulau Canary namun berdepan dengan masalah gear pendaratan.

Jet miliknya itu mendarat di Lapangan Terbang Zaventem di ibu negara Belgium itu kali pertama pada jam 9.18 pagi (3.18 petang waktu Malaysia).

Tidak sampai sejam setengah kemudian pesawat itu berlepas kembali sebelum terpaksa berpatah balik ke Brussels.

Pesawat itu berlepas pada jam 10.35 pagi pada waktu tempatan dan menuju ke barat daya Brussels namun 43 minit kemudian selepas 212 kilometer pukul 11.18 pagi ia mendarat semula.

Maklumat daripada Flight Aware menunjukkan pesawat itu bertolak dari San Carlos de Bariloche di Argentina ke Lapangan Terbang Guararapes di Recife, Brazil yang memakan masa lima jam 51 minit penerbangan.

Selepas itu pesawat berkenaan berlepas dari Recife pada jam 7.19 malam semalam, mengambil masa sembilan jam enam minit perjalanan ke Brussels, dan mendarat pagi tadi.

Bagaimanapun, selepas perhentian singkat di Belgium, pesawat itu tidak berlepas ke Tenerife seperti yang dirancangkan.

Kali terakhir pesawat itu melakukan penerbangan ialah dari Argentina ke Port Elizabeth, Afrika Selatan, hujung minggu lalu.

Tidak ada sebarang maklumat mengenai siapa yang berada di dalam pesawat berkenaan.

Messi, yang kerap menyewa jet Gulfstream V, menjadikan pesawat itu sebagai pengangkutan milik peribadinya.

Disiarkan pada: April 3, 2020 @ 8:10pm
d