arena

Phoenix tidak sangka tersenarai di Forbes

Oleh Ferzalfie Fauzi

AHLI gusti berhijab pertama di dunia, Nor ‘Phoenix’ Diana berasa sangat bersyukur dan bangga apabila tersenarai dalam Forbes 30 Bawah 30 Asia 2020.

Menurut gadis berusia 21 tahun itu, dia sendiri tidak menyangka mendapat pengiktirafan seperti itu dan berazam akan memberikan aksi paling terbaik selepas ini.

“Saya bersyukur, bangga dan tak sangka. InsyaAllah saya akan buat terbaik untuk teruskan membanggakan nama negara,” katanya ketika dihubungi Harian Metro hari ini.

Terkenal dengan gerakan penyudah ‘Tilt-a-Whirl Cutter’, ‘Crossbody’ dan ‘Suicide Dive’, Phoenix mengakui apa yang dianugerahkan kepadanya itu mampu memberikan inspirasi kepada golongan muda untuk mengejar impian.

“Saya rasa rendah diri, tetapi sedia untuk pikul tanggungjawab untuk teruskan menjadi sumber inspirasi.

“Bagaimanapun, kemasukan saya dalam senarai berkenaan tidak perlu diperbesarkan, dan media seharusnya memberikan penghargaan yang sama pada semua belia Malaysia lain yang turut diiktiraf,” kata gadis kelahiran Keramat itu.

Dia yang mula menceburi sukan gusti sejak 2015 berharap pengiktirafan berkenaan mampu menyuntik semangat baru kepadanya untuk berjaya mencipta nama dan memberikan impak di peringkat dunia.

Phoenix adalah di antara 12 belia Malaysia yang disenaraikan dalam edisi muka depan Forbes bagi kategori Sukan dan Hiburan.

Forbes 30 Bawah 30 Asia adalah senarai untuk anak muda di seluruh Asia di bawah usia 30 tahun yang mencabar tradisi konvensional dan menetapkan semula peraturan untuk generasi akan datang.

Juara Pro Wrestling-The Wrestleconi ini tular di laman sosial tahun lalu sehingga menarik perhatian media antarabangsa apabila aksi terbang dari penjuru gelanggang mengagumkan orang ramai, sekali gus menonjolkan penampilan berhijab.

“Perancangan saya seterusnya adalah ingin kembali ke United Kingdom (UK), di samping itu terus membantu menaikkan industri gusti profesional di Malaysia,” katanya.

Dia membuat penampilan di UK dalam perlawanan ‘Wrestle Queendom 3’ Januari lalu dan saingan berkenaan dianjurkan Pro Wrestling EVE di barat London Selain Phoenix, atlet luncur ais pecut negara, Anja Chong, turut tersenarai di dalam kategori Sukan dan Hiburan.

Dia membantu kuartet 3’000 meter (m) berganti-ganti meraih emas di Sukan SEA Filipina tahun lalu, selain membawa pulang gangsa bagi saingan 500m.

Disiarkan pada: April 3, 2020 @ 8:28pm
d