arena

Peluang fokus teruskan latihan

Oleh Mohd Rafi Mamat

PEMANAH compound negara, Fatin Nurfatehah Mat Salleh tetap dengan rutin harian mengadakan latihan walaupun negara sedang melalui Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) disebabkan wabak Covid-19.

Dia yang kini sedang melanjutkan pengajian peringkat doktor falsafah (PhD) di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim Perak berkata, setiap hari dia meluangkan masa dua jam pagi dan petang untuk mengadakan latihan di rumah.

Menurutnya, selain latihan kecergasan dia turut menumpukan kepada aspek ketetapan dan tumpuan yang menjadi senjata utama perlu ada pada atlet memanah.Pada masa sama turut membaiki serta mencuci peralatan memanah.

Katanya, tahun lalu dia menyertai lima kejohanan memanah peringkat antarabangsa antaranya termasuk Sukan Sea Filipina dengan kejayaan meraih pingat perak, kejohanan memanah Piala Asia di Bangkok, Thailand dan beberapa kejohanan lain.

“Tahun ini pasukan compound digugurkan daripada program 2020 dan tidak ada kejohanan memanah peringkat antarabangsa yang akan disertai, hanya layak beraksi dipentas kebangsaan sahaja.

“Peluang berkenaan memberi lebih ruang kepada atlet untuk menumpukan kepada latihan serta mengikuti program yang disediakan jurulatih,” katanya, di sini hari ini.

Fatin berkata, tahun ini dia juga dapat memberi lebih tumpuan kepada pelajaran, sebelum ini terpaksa membahagikan masa dengan latihan, pertandingan dan pelajaran.

Mengenai Covid-19 yang melanda negara kini menurutnya, pelbagai kesulitan terpaksa dihadapi terutama penguatkuasaan PKP yang tidak membenarkan keluar rumah, banyak aktiviti yang dirancang sebelum ini terpaksa dibatalkan demi keselamatan dan kesihatan.

“Perasaan takut sentiasa bermain difikiran terutama apabila melihat kesan terhadap wabak pandemik itu, saya hanya keluar rumah untuk membeli keperluan harian sahaja.

“Semua pihak terkesan apabila PKP dilaksanakan namun keputusan kerajaan berbuat demikian untuk kebaikan semua pihak, saya berharap masyarakat dapat mematuhi arahan tidak keluar rumah supaya rangkaian virus Covid-19 tidak terus berlaku.

“Tanpa kerjasama semua pihak usaha kerajaan membendung penularan pademik itu tidak mungkin akan berhasil seperti diharapkan dan lebih tertekan lagi sekiranya PKP dilanjutkan lagi," katanya yang melanjutkan pengajian dalam bidang Sains Sukan.

Beliau menambah, dia sedih melihat kesusahan yang terpaksa dihadapi penduduk luar bandar yang terputus bekalan makanan namun dengan bantuan diberikan pelbagai pihak bebanan golongan terbabit dapat diselesaikan.

Disiarkan pada: April 4, 2020 @ 7:45pm
d