arena

Berbatov restui Liverpool juara liga

Oleh Reuters

BEKAS penyerang Manchester United, Dimitar Berbatov berkata Liverpool berhak untuk dinobatkan selaku juara Liga Perdana dan adalah tidak adil untuk kelab Anfield itu jika musim ini gagal ditamatkan kerana pandemik Covid-19.

Liverpool yang kini mempunyai kelebihan 25 mata di tangga teratas liga berbanding pesaing terdekat, Manchester City ketika berbaki sembilan perlawanan lagi, hanya memerlukan enam mata untuk menjamin kejuaraan liga buat kali pertama selepas 30 tahun.

“Ramai yang mencadangkan supaya kejuaraan liga diberikan kepada Liverpool. Sejujurnya mereka berhak untuk memenanginya kerana tiada pasukan mampu mengejar mereka,” kata Berbatov yang menjaringkan 56 gol sepanjang empat musim di United.

“Dengan cara mereka beraksi dan begitu jauh mata yang dikutip, mereka sememangnya berhak untuk memenangi kejuaraan liga musim ini.

“Adalah tidak adil untuk Liverpool jika musim ini gagal ditamatkan. Mereka pasti kecewa,” katanya.

Ketika timbul spekulasi untuk memendekkan musim ini atau membatalkannya, pengurusan Liga Perdana tetap mahu melengkapkan baki saingan musim ini.

“Bagaimanapun, keputusan untuk menyambung semula saingan liga hanya selepas mendapat sokongan daripada kerajaan serta nasihat pegawai kesihatan,” kata pengurusan Liga Perdana dalam satu kenyataan.

Disiarkan pada: April 4, 2020 @ 8:41pm
d