arena

Mintah harap keluarganya selamat

Oleh Malik Muhamad

PENYERANG Terengganu FC II (TFC II), Jordan Mintah akui begitu rindukan keluarganya yang berada di Ghana ketika dunia kini ‘berperang’ dengan penularan wabak Covid-19.

Pemain berusia 25 tahun itu juga tanpa berselindung mengakui turut melahirkan perasaan risau mengenai keselamatan dan kesihatan keluarga terutama ibunya, Theresa Adjwoa Ampomaa di negara berkenaan.

Namun penjaring terbanyak Liga Filipina musim lalu dengan meledak 31 gol ketika menyarung jersi kelab Kaya FC terpaksa akur dengan situasi semasa terutama dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selain lega keluarganya bebas daripada sebarang jangkitan wabak itu.

“Keluarga saya termasuk ibu kini berada dalam keadaan sihat di Ghana, begitu juga dengan adik-beradik yang lain mereka bebas daripada sebarang jangkitan wabak pandemik itu.

“Tapi dalam masa yang sama perasaan bimbang turut berlegar dalam fikiran apabila tinggal berjauhan dengan mereka terutama memikirkan mengenai penularan wabak pandemik itu yang kian merebak di seluruh dunia.

“Bagi memastikan keluarga sentiasa selamat di sana dan hati saya tenang, saya sering mengingati mereka mengamalkan ciri-ciri keselamatan bagi membendung penularan penyakit itu termasuk mengambil perhatian serius dengan duduk di rumah dan tidak bertemu dengan orang lain,” ujarnya.

Mengenai latihan harian di kediamannya, pemain yang berpengalaman beraksi di pentas Piala AFC itu tidak berdepan masalah mengikuti program yang sudah dirangka jurulatih skuad The Turtles itu, Roshadi Wahab.

Berkaitan isu pemotongan gaji, anak keempat daripada tujuh beradik itu tidak bersetuju kerana pemain tetap bekerja dengan melakukan latihan di kediaman masing-masing.

“Tidak setuju kerana pihak pengurusan sudah beri jadual latihan dan kami perlu menghantar video latihan itu pada setiap hari kepada jurulatih untuk dibuat penilaian, maka ia bermakna kami bekerja cumanya di rumah,” ujar Mintah yang berjaya membuka ‘akaun’ gol pertamanya dalam saingan Liga Malaysia ketika pasukannya menumpaskan Selangor II, 1-0 dalam aksi Liga Perdana pada 1 Mac lalu.

Disiarkan pada: April 5, 2020 @ 12:14pm
d