arena

Jadual padat cabaran Harimau Malaya

Oleh Firdaus Hashim

TEMPOH enam bulan akan datang bermula Jun hingga Disember ini bakal menguji kemampuan skuad Harimau Malaya sama ada mampu mengaum di peringkat Asia dan Asean atau sebaliknya.

Dua tugasan penting bakal menanti anak buah Tan Cheng Hoe iaitu baki tiga aksi Kumpulan G Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 pada Oktober ini dan saingan dwi tahunan serantau iaitu Piala AFF pada November ini dengan Malaysia adalah naib juara edisi lalu.

Namun kalau dikira berdasarkan prestasi sebelum ini terutama ketika mengharungi lima aksi Kelayakan Piala Dunia penghujung tahun lalu, peluang pasukan negara dilihat cukup cerah sekiranya mampu mengekalkan rentak dan permainan sama.

Bagaimanapun, timbul sedikit kebimbangan dihati Cheng Hoe yang mengakui khuatir sekiranya pemainnya mengalami keletihan dn kecederaan ekoran jadual Liga Malaysia (Liga-M) yang dijangka dirombak semula dan mungkin disusun padat bagi menghabiskan saingan musim ini susulan penangguhan liga ekoran wabak Covid-19.

Begitupun, jurulatih dari Kedah itu enggan menjadikan ia sebagai alasan untuk tidak mampu menyerlah apabila pentas antarabangsa bersambung semula.

“Kalau ikutkan nanti susunan itu (jadual perlawanan Liga-M) nanti agak rapat juga.

“Sebagai jurulatih kita kena tengok pemain-pemain juga kerana jadual yang ketat dan persiapan yang mungkin singkat. Kadang-kadang boleh menyebabkan pemain itu keletihan kerana jadual yang ketat serta akan mendedahkan pemain kepada kecederaan.

“Saya harap pemain dalam tempoh rehat PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) ini dapat bersedia apabila liga bermula sekali gus memudahkan latihan pusat negara apabila dipanggil nanti,” katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Ketika ini, Liga-M terpaksa ditangguhkan bermula 16 Mac lalu bagi menghormati arahan kerajaan yang menguatkuasakan PKP bagi membendung penularan wabak Covid-19.

Disiarkan pada: April 5, 2020 @ 5:44pm
d