arena

City kecewa Walker anjur pesta seks

Oleh AFP

KYLE Walker bakal berdepan tindakan disiplin selepas dilaporkan melanggar perintah berkurung Covid-19 selepas menganjurkan parti seks walaupun dia menasihati orang ramai supaya duduk di rumah.

Pertahanan Manchester City berusia 29 tahun itu meminta maaf selepas akhbar The Sun melaporkan dia menjemput dua pelacur ke kediamannya Selasa lalu.

Walker memuatnaik video di lama sosial Rabu lalu, menggesa orang ramai mematuhi peraturan kerajaan mengenai jarak selamat antara satu sama lain.

Britain melaporkan lebih 621 kematian akibat Covid-19 Sabtu lalu, menjadikan jumlah keseluruhan 4,934 orang.

“Saya mahu meminta maaf kepada keluarga, rakan-rakan, kelab saya, peminat dan orang ramai kerana mengecewakan mereka.

“Terdapa wira-wira di luar sana melakukan kerja kemasyarakatan yang pelbagai pada saat sukar ini dan saya harus terus membantu memberi sokongan serta berkongsikan pengorbanan luar biasa mereka sejak beberapa minggu lalu,” kata Walker dalam satu kenyataan.

Walker adalah pemain kedua berprofil tinggi Liga Perdana Inggeris (EPL) yang melanggari peraturan kerajaan selepas Jack Grealish dari Aston Villa.

Grealish menghadiri parti hujung minggu lalu dan gambarnya diambil berada di tepi jalan memakai selipar.

Ia selang sejam selepas dia memuatnaik video di laman sosial menggesa peminat agar kekal selamat di rumah.

Selepas memohon maaf Grealish didenda dan dikenakan tindakan disiplin oleh Villa.

Sementara itu Manchester City mengeluarkan kenyataan bahawa tindakan Walker sangat bertentangan dengan apa yang mereka lakukan iaitu sentiasa menyokong usaha Pusat Kesihatan Nasional dan barisan depan memerangi wabak Covid-19.

“Kami sangat kecewa mendengar perkara berkenaan dan menggesa Walker agar menyatakan permohonan maaf. Kami akan mengadakan prosedur disiplin dalaman dalam tempoh beberapa hari lagi,” jelas kelab berkenaan.

Disiarkan pada: April 6, 2020 @ 8:44am
d