arena

Kpah Sherman rindu aksi Liga M [METROTV]

Oleh Izzali Ismail

PENYERANG sensasi Kedah Kpah Sherman mengakui dia merindui untuk kembali beraksi di Liga Malaysia (Liga M) yang tertangguh dan mengharapkan usaha bersungguh-sungguh semua pihak dalam membendung dan memulihkan penularan wabak Covid-19.

Dia yang juga penjaring terbanyak Liga M musim 2019 berkata, amalan pematuhan yang ditunjukkan semua pihak dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kini berjalan dengan begitu teratur dan ini memberi harapan baik untuk seluruh negara bagi memerangi habis-habisan wabak pandemik ini.

“Dengan perancangan dan tahap kesungguhan tinggi yang ditunjukkan oleh semua pihak ketika ini, saya yakin wabak ini dapat dibendung dan kini kita hampir memasuki tiga minggu tempoh PKP sejak ianya bermula bulan lalu.

“Sebagai pemain, saya memang rindukan aksi bersama Kedah tambahan pula pemandangan dari luar balkoni kondominium saya tepat ke arah Stadium Darul Aman dan ini membangkitkan lagi semangat dan harapan saya setiap hari agar dapat kembali semula beraksi bersama rakan apabila ancaman wabak Covid-19 ini pulih nanti.

”Sherman bagaimanapun mengakui agak janggal apabila inilah kali pertama terpaksa berhadapan latihan sendirian di rumah namun dengan perintah PKP yang membabitkan aspek keselamatan semua pihak, dia tahu itu adalah pilihan terbaik yang ada.

“Seperti juga anda semua, saya juga mengalami kebosanan berkurung seharian di rumah tanpa aktiviti di padang, namun saya cuba aturkan aktiviti sihat seharian bersama adik dan abang saya di rumah dengan meluangkan masa menonton filem dan bermain permainan video selepas selesai latihan rutin ringan berkaitan kecergasan.”

“Saya juga sentiasa berhubung rakan pemain serta jurulatih bagi memaklumkan perkembangan latihan yang dilakukan melalui rakaman video.

“Sebelum ini saya akan menggunakan gimnasium di kawasan blok kediaman saya namun sejak PKP berlangsung gimnasium ini tidak lagi dibuka dan kini semua penduduk mematuhi sepenuhnya arahan yang diberi,” katanya.

Selain aspek latihan kecergasan, Sherman juga amat menitik beratkan soal pemakanan dimana dia tetap memastikan jumlah makanan yang diambil seharian berkhasiat di samping tidak berlebihan dari segi kuantiti.

“Pemakanan berlebihan ketika dirumah mampu mengundang isu pertambahan berat badan terutama bagi mereka yang kurang berdisiplin dan oleh itu saya memilih pemakanan yang kaya dengan vitamin seperti buah-buahan, dimana ini penting bagi mengekalkan tahap kesihatan dan kecergasan setiap pemain bola sepak profesional.” katanya.

Disiarkan pada: April 6, 2020 @ 1:20pm
d