arena

Farhan tinggalkan MUSA

Oleh Nazri Abu Bakar

BEKAS Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Melaka (MUSA) Farhan Ibrahim mengucapkan selamat maju jaya kepada persatuan terbabit selepas tidak lagi menyandang jawatan itu sejak Sabtu lalu.

Menurutnya, hari terakhir dia bertugas adalah Sabtu lalu sekali gus dia mengucapkan terima kasih kepada mantan Presiden MUSA, Adly Zahari yang melantiknya sebagai Bendahari Kehormat pada peringkat awal.

Katanya, kemudian dia dilantik memegang jawatan Setiausaha Agung selepas kongres pemilihan MUSA 2018.

“Banyak yang saya belajar sepanjang tempoh terbabit, khususnya dari aspek pembangunan bola sepak di peringkat akar umbi yang bukan sahaja membabitkan pemain tetapi juga pembangunan untuk jurulatih dan pengadil yang menjadi fokus saya ketika itu.

“Walaupun persatuan berjalan dengan kewangan yang sangat terhad, namun program pembangunan tidak pernah terhenti,” katanya.

Menurutnya, dia juga berterima kasih kepada Timbalan Presiden MUSA, Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi dan barisan exco yang banyak membantu menjalankan urusan pentadbiran.

Malah dia juga menghargai keluarga besar FAM dan MFL yang diketuai Datuk Hamidin Mohd Amin yang banyak membantu persatuan dari segi latihan dan kursus yang menterjemahkan banyak ilmu berkaitan pengurusan bola sepak.

“Akhir sekali, saya mengucapkan selamat maju jaya dan sentiasa mendoakan MUSA untuk terus berusaha mencapai kejayaan,” katanya.

Sementara itu, MUSA dalam kenyataannya mengucapkan selamat maju jaya kepada Farhan yang menamatkan khidmatnya.

“Setinggi-tinggi penghargaan terima kasih atas segala khidmat bakti yang dicurahkan sepanjang hampir dua tahun mengemudi pengurusan persatuan. Ikhlas daripada ahli-ahli eksekutif serta warga pengurusan MUSA,” katanya.

Disiarkan pada: April 6, 2020 @ 7:09pm
d