arena

Hikmah PKP buat Jose Almir

Oleh Mohd Amin Jalil

TEMPOH Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula sejak 18 Mac lalu satu rahmat buat pemain import Negeri Sembilan, Jose Almir Neto apabila membantu pemain itu pulih daripada kecederaan.

Ini diakui sendiri ketua jurulatih pasukan itu, Sazali Saidun, yang ternyata gembira dengan perkembangan penyerang berasal dari Brazil itu.

Katanya, Almir mengalami kecederaan lutut yang dialami ketika aksi pramusim Liga Malaysia (Liga-M) musim ini hingga menyebabkan dia tidak dapat diturunkan pada dua perlawanan awal Liga Perdana.

“Ketika itu kecederaan pemain terbabit agak serius menyebabkan khidmatnya tidak dapat dimanfaatkan pada perlawanan awal saingan Liga Perdana.

“Dia hanya dapat diturunkan pada dua perlwanan terakhir sebelum berehat iaitu menentang Kelantan United dan UKM FC, bagaimanapun beraksi sebagai pemain gantian.

“Kini, Almir sudah pulih sepenuhnya daripada kecederaan dialami kerana tempoh PKP ini memberinya peluang berehat dan khidmatnya pasti ditagih pasukan apabila saingan liga bersambung kelak,” katanya di sini, hari ini.

Negeri Sembilan mempertaruhkan empat pemain import yang membabitkan tiga dari Brazil termasuk Igor Luiz dan Matheus Vila serta Shunsuke Nakatake dari Jepun.

Mengenai isu potongan gaji pemain yang diperkatakan banyak pihak kebelakangan ini, Sazali berkata, sehingga kini perkara itu tidak dibincangkan dalam kalangan Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS) selaku majikan dan pemain.

“Setakat ini, kami tidak membincangkannya. Fokus ketika ini adalah pemantauan terhadap pergerakan dan latihan pemain yang perlu mereka lakukan di rumah masing-masing,” katanya.

Mengulas mengenai status Liga-M musim ini yang belum dapat ditentukan susulan Covid-19, pengendali berasal dari Johor itu berkata, semua pasukan menunggu perkembangan selanjutnya dari pihak Liga Bolasepak Malaysia (MFL).

Beliau akui semua persatuan atau kelab bola sepak tempatan akan berhadapan dengan kekangan kewangan jika terpaksa beraksi di stadium yang kosong tanpa penyokong.

“Saya yakin dan percaya MFL selaku badan pengelola liga akan membuat keputusan yang mengambil kira semua aspek berpandukan pandangan daripada pihak berkuasa terutama Kementerian Kesihatan Malaysia.

“Kita tunggu perkembangan lanjut yang akan diumumkan oleh MFL nanti,” katanya.

Dalam lapporan sebelum ini, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dilaporkan tidak menggalakkan masyarakat menyertai perhimpunan awam dalam tempoh enam bulan hingga setahun.

Disiarkan pada: April 6, 2020 @ 7:33pm
d