arena

Maria ajak peminat hubunginya

Oleh Agensi

MARIA Sharapova berkongsi nombor telefonnya di media sosial dalam usaha untuk berhubung dengan peminatnya ketika pandemik Covid-19.

Bintang tenis berusia 32 tahun itu yang mengumumkan persaraannya pada Februari lalu, ketika ini mempunyai lebih banyak masa.

Pemenang lima kejuaraan Grand Slam itu menerusi akaun Twitter miliknya menyampaikan mesej menerusi video pendek kepada peminatnya ketika krisis global di seluruh dunia kini.

“Saya baru mendapat nombor baru dan saya kongsikan bersama anda. Sila hantar pesanan kepada saya.

“Maklumkan kepada saya bagaimana kehidupan anda, tanya soalan kepada saya atau cukup sekadar ucapkan ‘hello’. Jika ada resipi menarik untuk dikongsi, saya amat mengalu-alukannya,” katanya.

Maria berkata, dia mendapat idea untuk kerap berhubung dengan peminatnya kerana mereka tidak pernah jemu memberi sokongan kepadanya.

“Saya cuba mencari kaedah bagaimana untuk berhubung dengan anda semua kerana minggu lalu saya melakukan persidangan video bersama kira-kira 150 peminat.

“Saya mahu lebih daripada jumlah itu. Selain itu, kita semua sedang menjalani arahan penjarakan sosial, jadi saya mahu anda menghantar pesanan kepada saya dan kongsikan pandangan anda,” katanya.

Sehingga hari ini, video yang dimuat naik Sharapova itu disaksikan kira-kira 2.5 juta peminatnya.

Disiarkan pada: April 6, 2020 @ 9:44pm
d