arena

Afif bawa pulang rakyat Malaysia

Oleh Syazwan Msar

BERBAKAT di atas padang dan berpengalaman di udara. Itulah kelebihan dimiliki pemain Melawati FC, Afif Najmi Muhd Izwan yang diberikan kepercayaan membawa pulang seramai 55 penumpang dari Tehran, Iran ke Malaysia pada 21 Mac lalu susulan pandemik Covid-19.

Afif yang kini beraksi bersama kelab amatur Liga M3 itu sejak musim lalu seorang juruterbang yang baru sahaja selesai bertugas dalam misi khas menerusi pesawat AirAsia membawa pulang rakyat Malaysia ke tanah air dari Iran yang juga antara negara paling teruk dilanda wabak Covid-19.

Pemain berusia 29 tahun itu menyifatkan misi tersebut antara yang akan diingati sepanjang kariernya bergelar juruterbang kerana memerlukan prosedur cukup rapi dan teliti demi kesihatan semua pihak.

Katanya, terdapat tiga zon dalam penerbangan terbabit yang membabitkan kru kabin, pasukan perubatan dan terakhir sekali penumpang yang seramai 46 orang dari Malaysia, 8 dari Singapura dan seorang dari Indonesia.

“Penerbangan ini dua hala sekali gus ada tiga kapten pesawat dan dua pembantu juruterbang di mana secara keseluruhan seramai 22 orang termasuklah pasukan perubatan.

“Memang penat sangat dan saya boleh rasa suasana cukup berbeza kerana prosedur memang cukup teliti selain taklimat yang ada dan kami perlu memakai pakaiantertutup demi keselamatan semua orang.

“Dan setiap penumpang perlu melakukan saringan terlebih dahulu, seorang demi seorang sebelum dibenarkan masuk untuk pulang bagi langkah berjaga-jaga dan bagi saya. Ini penerbangan paling saya tidak boleh lupakan,” katanya, di sini.

Bekas pemain futsal negara itu sudah selesai menjalani kuarantin di rumah selama 14 hari sebelum kembali bertugas.

Afif kini hanya sempat berlatih dua kali sahaja bersama pasukan yang kini dibimbing Mat Zan Mat Aris kerana kesibukan tugas apatah lagi ketika negara sedang berdepan penularan wabak Covid-19.

“Memang awal-awal ni saya sibuk dengan kerja dan musim lepas saya minta cuti juga untuk datang beraksi dalam perlawanan bersama pasukan. Namun dibimbangi selepas wabak COVID-19 ini pulih, penerbangan akan menjadi lebih banyak dan saya kena bersedia, bergantung kepada jadual kerja nanti,” katanya.

Disiarkan pada: April 7, 2020 @ 6:00am
d