arena

Tiada 'The Open' tahun ini

Oleh AFP

TERBUKA British buat kali pertama dibatalkan sejak Perang Dunia Kedua berikutan pandemik Covid-19.

Saingan kali ke-149 itu sepatutnya berlangsung di Royal St George’s Golf Club di Kent. Julai ini.

Bagaimanapun, pandemik berkenaan mengganggu jadual sukan utama, sekali gus menjadikan Terbuka British adalah kejohanan pertama daripada empat saingan utama golf dibatalkan tahun ini.

Kejohanan golf tertua itu hanya akan diadakan semula di Sandwich pada Julai 2021.

“The Open sepatutnya dilangsungkan di Kent dari 12 hingga 19 Julai namun ia dibatalkan berdasarkan peraturan dan nasihat Kerajaan UK, pihak berkuasa kesihatan dan beberapa badan lain,” jelas penganjur, R&A dalam satu kenyataan semalam.

St Andrews akan tetap menjadi tuan rumah Terbuka British ke-150.

“Keutamaan kami adalah untuk keselamatan dan kesihatan peminat, pemain, pegawai, sukarelawan dan staf yang terbabit dengan The Open. Kami sedar bahawa ini adalah kejohanan yang kaya dengan sejarah dan membuat keputusan dengan seberat hati,”

“Kami sudah melihat pelbagai jalan penyelesaian untuk menganjurkan The Open namun mustahil ia boleh diadakan.

“Sebelum ini kami bergantung kepada bantuan servis kecemasan, penguatkuasa tempatan dan pertubuhan sekeliling untuk menganjurkan The Open. Bagaimanapun, ia kurang sesuai untuk menjalankan apa-apa aktiviti dengan bantuan mereka yang perlu berdepan tugas lebih penting.

“Kami faham keputusan ini akan mengecewakan ramai pihak di seluruh dunia tapi kami harus bertindak dengan penuh tanggungjawab ketika pandemik ini dan ia adalah langkah tepat,” kata Ketua Eksekutif R&A Martin Slumbers.

Terbuka British adalah saingan golf berprofil tinggi yang dibatalkan akibat virus itu.

Wimbledon juga dibatalkan buat kali pertama sejak Perang Dunia Kedua, manakala Euro 2020 dan Olimpik pula ditangguhkan ke tahun depan.

Disiarkan pada: April 7, 2020 @ 10:48am
d