arena

UAE pecat jurulatih sebelum bertemu Malaysia

Oleh Firdaus Hashim

WALAUPUN dunia ketika ini sedang dihimpit dengan masalah penularan wabak Covid-19 hingga menyaksikan aksi perlawanan bola sepak antarabangsa ditangguhkan, namun pasukan kebangsaan Emiriah Arab Bersatu (UAE) tetap bersiap sedia untuk 'membedil' skuad Harimau Malaya sebaik aksi antarabangsa disambung semula pada Oktober depan.

Meskipun tempoh berkenaan dilihat masih panjang lagi, pasukan Asia Barat itu dilihat cukup serius untuk memastikan kemenangan mutlak tetap memihak mereka apabila aksi keenam Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 bertemu Malaysia di Dubai berlangsung pada 8 Oktober nanti.

Isyarat itu susulan pengumuman Persatuan Bolasepak Emiriah Arab Bersatu (UAE FA) kelmarin yang menamatkan kontrak pengendali pasukan, Ivan Jovanovic walaupun baru memegang jawatan selama empat bulan sejak Disember lalu.

Pengendali dari Serbia itu sebelum ini dibawa masuk bagi menggantikan tempat Bert Van Marwijk yang dipecat selepas gagal memberi impak berkesan ke atas pasukan itu.

Bimbang akan tewas kepada Malaysia selepas ini, UAE kini sedang memilih barisan jurulatih yang terbaik supaya tidak terlepas sasaran untuk mara ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2022

Lantas, ia seolah memberi gambaran betapa UAE amat dahagakan kemenangan dan anak buah Tan Cheng Hoe yang kini berehat susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) oleh kerajaan harus merangka dan memikirkan strategi terbaik untuk menghadapi aksi itu nanti.

Menurut kenyataan rasmi daripada UAE FA, keputusan itu diambil selepas mendapat cadangan daripada Ahli Jawatankuasa teknikal skuad kebangsaan yang diketuai oleh Yusef Hussain Al-Sahlawi, Naib Presiden UAE FA dan Pengerusi jawatankuasa.

“Pihak UAE FA merasakan Ivanovic masih tidak mencapai Indeks Petunjuk Prestasi Utama (KPI) sepanjang mengendalikan latihan pasukan kebangsaan,” kata kenyataan itu.

Dalam kempen Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023, UAE berada di kedudukan keempat kumpulan G dengan enam mata selepas empat perlawanan, manakala skuad Harimau Malaya di tangga kedua dan memungut sembilan mata.

Disiarkan pada: April 7, 2020 @ 6:19pm
d