arena

Khabib tak beraksi, lokasi UFC 249 di pulau

Oleh Agensi

PRESIDEN UFC, Dana White berkata beliau hampir mendapatkan lokasi sebuah pulau persendirian untuk menganjurkan perlawanan UFC 249 ketika krisis pandemik Covid-19.

White berkata, perlawanan itu akan berlangsung mengikut jadual iaitu pada 18 April ini di lokasi yang masih belum didedahkan.

Pihak penganjur digesa untuk menangguhkan perlawanan itu tetapi White bertegas ia tetap akan diteruskan.

“Perlawanan itu akan kekal berlangsung pada 18 April. Dalam tempoh sehari dua lagi saya akan memperoleh lokasi itu untuk perlawanan berkenaan,” katanya.

Juara lightweight, Khabib Nurmagomedov dijadual bertemu Tony Ferguson di New York, perlawanan yang menjadi tumpuan utama di UFC 249.

Namun Khabib ketika ini menjalani proses kuarantin di Russia dengan White mengesahkan Justin Gaethje akan menggantikan tempatnya.

White berkata, setiap petarung akan kerap menjalani ujian Covid-19 dan tiada kehadiran penonton pada perlawanan itu.

“Kami akan memastikan atlet, pengadil, kumpulan produksi kesemuanya berada dalam keadaan sihat ketika dan selepas saingan itu,” katanya.

Disiarkan pada: April 8, 2020 @ 12:01am
d