arena

Kekal cergas atau gugur

Oleh Mohd Rafi Mamat

KEKAL cergas atau digugurkan amaran yang diberikan kepada barisan pemain muda yang terpilih membawa cabaran skuad hoki Pahang dipentas Sukan Malaysia (Sukma) Johor 2020.

Ketua jurulatihnya Mohd Sufian Mohamad berkata, beliau tidak akan berkompromi dalam isu kecergasan kerana faktor berkenaan menjadi penentu kepada kejayaan atau sebaliknya di mana-mana kejohanan.

Menurutnya, beliau beberapa kali mengingatkan kepada pemain supaya melakukan latihan kecergasan di rumah sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), jangan terlalu banyak tidur dan makan secara berlebihan hingga menyebabkan berat badan naik.

Katanya, sekiranya dalam tempuh sebulan PKP pemain hanya berehat tidak melakukan apa-apa aktiviti di rumah, kesannya bukan sahaja kecergasan tetapi mereka juga akan hilang tumpuan pada permainan disebabkan terlalu lama tidak bermain.

“Semua pemain hoki Pahang juga perlu menghantar gambar latihan yang mereka lakukan di rumah sepanjang PKP dan saya dapati pemain berbuat demikian sejak fasa pertama PKP, pelbagai aktiviti dilakukan selama sejam hingga dua jam sehari.

“Saya berpuas hati dengan laporan yang diberikan setiap pemain namun itu tidak bermakna mereka benar-benar cergas seperti sebelum ini,” katanya, di sini hari ini.

Beliau berkata, kecergasan pemain penting dalam usaha pasukan hoki Pahang memburu pingat emas yang diinginkan, walaupun tarikh Sukma Johor 2020 masih belum diputuskan lagi.

Mohd Sufian menambah, skuad hoki meletakan sasaran untuk membawa pulang pingat emas sebagai hadiah kepada Presiden Persatuan Hoki Pahang (PHP) yang baharu, Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al- Sultan Abdullah.

“Kini harapan menggunung diletakkan dibahu barisan pemain, justeru tempoh cuti yang panjang tidak bermakna pemain hanya berehat di rumah hingga menjejaskan prestasi mereka,” katanya yang juga bekas pemain hoki kebangsaan.

Sementara itu, bagi Muhammad Haikal Ridwan Osman, dia meluangkan masa antara sejam hingga dua jam sehari untuk mengadakan kecergasan dan mengawal bola.

“Sebagai penyerang saya perlu sentiasa cergas setiap hari dan paling utama ketika kejohanan berlangsung, walaupun kini sedang melalui PKP, latihan yang disediakan jurulatih perlu dilakukan secara berterusan di rumah.

“Saya bimbang disebabkan tidak cergas peluang mewakili Pahang pada Sukma Johor 2020 akan terjejas berikutan kecuaian sendiri,” katanya yang sedang menuntut di Sekolah Menengah Kebangsaa (SMK) Seberang Temerloh.

Disiarkan pada: April 8, 2020 @ 2:20pm
d