arena

Azhan pacu SIC ganti Razlan

Oleh Aida Adilah Mat

LITAR Antarabangsa Sepang (SIC) mengalukan kedatangan Azhan Shafriman Hanif selaku Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baharu mengambil alih tugas Datuk Razlan Razali yang menamatkan tempoh perkhidmatannya semalam.

Nama Azhan bukanlah asing dalam dunia permotoran yang sebelum ini menjawat jawatan sebagai Ketua Pengelola Perikatan Strategik di bawah Jabatan Penjenamaan PETRONAS.

Mempunyai portfolio selaku jurutera mekanikal dalam sains bahan dan pengeluaran, Azhan sudahpun bersama PETRONAS lebih 13 tahun.

Beliau dilihat sebagai individu paling layak memegang jawatan itu berdasarkan pengalamannya dalam arena permotoran lebih sedekad untuk memacu sukan dua dan empat roda - MotoGP, Formula 1 dan Cub Prix.

Mengulas mengenai pelantikannya itu, Azhan menganggap ia sebagai satu penghargaan kepada dirinya.

“Datuk Razlan meninggalkan legasi besar dalam sukan ini tapi saya percaya mampu untuk menawarkan perspektif yang berbeza dalam bidang ini berdasarkan pengalaman saya bersama PETRONAS sebelum ini.

“Ketika di PETRONAS, saya berpeluang untuk memberi maklum balas kepada SIC mengenai kemudahan yang ditawarkan dan itu menjadi satu titik permulaan bagi saya di SIC dalam usaha untuk membiasakan diri dengan peranan sebagai CEO,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi SIC, Tan Sri Azman Yahya menzahirkan keyakinan bahawa Azhan mampu memimpin SIC untuk berjaya seterusnya membawa nama litar itu ke peringkat tertinggi.

“Azhan adalah seorang yang berkebolehan dan bersemangat serta mempunyai pengalaman luas dalam dunia permotoran ini.

“Kami akan menggunakan yayasan yang diusahakan oleh Razlan Razalisemasa menjawat jawatan CEO untuk memajukan lagi litar ini menjadi lebih terkemuka,” katanya.

Disiarkan pada: April 8, 2020 @ 5:56pm
d