arena

Janggal berlatih di rumah

Oleh Malik Muhamad

ATLET pelapis negara dalam sukan pelayaran, Tengku Nurani Ezaty Tengku Khairudeen mengakui begitu rindukan untuk kembali berlatih di Kompleks Perahu Layar Kebangsaan, Langkawi selepas lebih tiga minggu berlatih sendiri susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat krisis wabak pandemik Covid-19.

Pelajar Tingkatkan Empat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kelibang, Pulau Langkawi itu yang kini menetap di Pasir Panjang, Terengganu juga akui dia tidak mencapai kepuasan sebenar berlatih sendiri di rumah dengan hanya melakukan rutin harian senaman biarpun dipantau dari jauh jurulatih.

“Sukan yang saya ceburi melibatkan air, jadi sudah tentu ia tidak memberikan kepuasan yang sebenar dengan hanya melakukan latihan kecergasan di rumah seperti 'burpees', 'squat jump' 'mountain climber dan tekan tubi.

“Saya juga berdepan dengan kesukaran mengawal pemakanan sepanjang tempoh PKP ini yang memerlukan disiplin yang tinggi.

“Ini yang membuatkan saya begitu rindu dan tidak sabar untuk turun berlatih di kompleks berkenaan kerana sukan perahu layar sudah sebati dalam jiwa sejak pertama kali terlibat secara serius ketika usia 13 tahun.

“Namun dalam masa sama saya perlu akur dengan arahan kerajaan kerana keselamatan dan kesihatan perlu diutamakan dalam memastikan rantaian wabak pandemik itu dapat dihentikan seberapa segera,” katanya.

Sepanjang kariernya, atlet berbakat besar kebangsaan itu pernah meraih pingat emas dalam Sukan Malaysia (Sukma) edisi ke-19 pada 2018 di Perak, emas dalam kejohanan Majlis Sukan Sekolah Malaysia 2019 selain muncul pelayar wanita terbaik kategori 'windsurfing' dalam kejohanan itu serta merangkul pingat gangsa Kejohanan Antarabangsa di Thailand pada 2020.

“Besar harapan saya semoga wabak pandemik ini dapat dihentikan seberapa segera selain merayu semua masyarakat dapat mematuhi arahan PKP ini,” kata Ezaty yang juga bakal beraksi dalam Sukma edisi ke-20 di Johor nanti.

Disiarkan pada: April 9, 2020 @ 12:02am
d