arena

Galacticos setuju potong gaji

Oleh AFP

REAL Madrid mengumumkan pemain dan jurulatih skuad bola sepak dan bola keranjang bersetuju dengan pemotongan gaji susulan penularan pandemik Covid-19.

Dalam kenyataan awal pagi tadi, Real berkata kedua-dua pasukan termasuk pengarah sukarela bersetuju dengan pengurangan gaji di antara 10 sehingga 20 peratus bergantung kepada situasi yang mungkin memberi kesan kepada penutup musim 2019/20.

Real bagaimanapun tidak menjelaskan situasi terbabit tetapi media Sepanyol melaporkan pemain akan menerima kurang 10 peratus jika musim ini dapat dilengkapkan dan 20 peratus jika ditamatkan lebih awal.

Pemotongan itu membabitkan pengurangan 28 juta (RM132 juta) dan 56 juta euro (RM264 juta) daripada jumlah keseluruhan pembayaran gaji Real.

Langkah itu turut bermakna kelab mengelak melaksanakan skim pengurangan sebahagian pekerja (ERTE) yang menyaksikan pemotongan gaji sehingga 70 peratus pemain Barcelona dan Atletico Madrid.

La Liga mengesyorkan kelab menyertai skim itu dengan Sevilla dan Espanyol turut mahu dimasukkan dalam skim terbabit.

Sejumlah 14,000 orang mati akibat Covid-19 di Sepanyol, negara kedua paling terjejas teruk selepas Itali dengan 146,690 telah pun dijangkiti virus itu.

Disiarkan pada: April 9, 2020 @ 7:29am
d