arena

Tiga misi terakhir Azreen

Oleh Malik Muhamad

TEMPOH Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mencegah penularan wabak Covid-19 bukan alasan buat Olahragawati Sukan Malaysia (Sukma) 2018, Azreen Nabila Alias untuk berehat dan berpeluk tubuh.

Sebaliknya Ratu Pecut Sukma yang menetap di Kampung Saujana, Setiu itu tetap mempersiapkan diri dalam misi untuk mempertahankan gelaran itu dalam Sukma edisi ke-20 di Johor yang belum diputuskan tarikh baharu.

Azreen juga nekad untuk memecah rekod miliknya sendiri dalam acara 100 meter (m) selain memperbaiki catatan masa lebih baik acara 200m dan 4x100m pada temasya Sukma yang terakhir buat dirinya.

"Sudah tentu saya mahu mempertahankan pingat emas dan gelaran olahragawati walaupun kini hanya melakukan latihan ringan bagi mengekalkan kecergasan di rumah.

"Malah saya juga berhasrat memperbaharui rekod saya sendiri dalam acara 100m yang dilakukan ketika Sukma di Perak dua tahun lalu selain memperbaiki catatan masa acara 200m dan juga 4x100m.

"Inilah impian saya sebelum mengundur diri dalam Sukma kerana bakal melebihi had umur selepas mula menyertai temasya sukan itu sejak 2014 ketika berumur 14 tahun lagi," ujar Nabila yang kehilangan bapa tercintanya, Alias Che Ngah selepas Sukma pertamanya yang berlangsung di Perlis.

Ketika temasya Sukma di Perak, selain berjaya meleburkan rekod 10 tahun milik Siti Fatima Mohamad dengan catatan masa 11.81 saat, gadis berusia 20 tahun itu juga meraih tiga emas dalam acara 100m, 200m dan 4x100m sekali gus dinobatkan Olahragawati dalam temasya dwitahunan itu.

Azreen menuai emas dalam acara 4x100m menerusi kuartet yang dibarisi Nurul Alyssa Azman, Nurul Wardatul Huwaida Mohd Hamka dan Siti Norzullaika Ramli, yang cemerlang dalam dengan catatan masa terpantas 47.01s.

Atlet kebangsaan yang meraih gangsa pada pentas Sukan SEA Filipina musim lalu dalam acara 4x100m itu juga meraih emas dalam acara 4x100m ketika Sukma pertamanya di Perlis dan perak dalam acara 100m serta 4x100m dalam temasya Sukma keduanya di Sarawak pada 2016.

Azreen berkata bagi memastikan sentiasa kekal cergas, dia meluangkan masa sehingga tiga jam sehari dan lima hari seminggu melakukan latihan yang sudah diatur jurulatih.

"Tapi masalahnya latihan dilakukan sendiri tidak mencapai kepuasan sebenar kerana hanya melakukan latihan di kawasan rumah, namun tidak dapat tidak saya perlu melakukannya kerana misi saya meningkat lagi larian apatah lagi ibu, Khadijah Ali sentiasa memberi dorongan semangat," ujar Azreen yang terpaksa reda selepas Kejohanan Terbuka Melaka yang sepatutnya diadakan pada Mac tidak dapat diadakan berikutan perintah PKP.

Disiarkan pada: April 9, 2020 @ 11:57am
d