arena

F1 kembali tanpa penonton

Oleh Agensi

PENGARAH Urusan Formula 1, Ross Brawn berkata, saingan musim 2020 dijangka bermula di Eropah dan kemungkinan tanpa kehadiran penonton selepas ditangguhkan susulan pandemik Covid-19.

Semalam, Grand Prix Kanada muncul perlumbaan terkini terpaksa ditunda sekali gus yang kesembilan terpaksa dibatalkan atau ditangguh memaksa bos F1 mengubahsuai kalendar apabila perlumbaan kembali berlangsung.

Brawn berkata, menjadi hasrat F1 untuk memulakan perlumbaan secepat mungkin demi menceriakan peminat ketika tempoh sukar ini walaupun saingan terpaksa dilangsungkan tanpa penonton.

“Tempoh perjalanan pasukan dan penonton bakal menjadi salah satu isu besar,” kata Brawn kepada Sky Sports.

“Pandangan kami kemungkinan bermula di Eropah dengan venue tertutup. Pasukan datang dengan penerbangan khas, kami hantar mereka ke litar, pastikan setiap orang menjalani ujian saringan supaya tidak mendatangkan risiko.

“Kami adakan perlumbaan tanpa penonton, ia tidaklah hebat tetapi lebih baik daripada tiada langsung. Perlu diingat terdapat jutaan penonton menyaksikannya di rumah.

“Ramai daripada mereka terpaksa berkurung di rumah dan memberikan hiburan kepada mereka menerusi sukan adalah satu bonus ketika tempoh sukar ini.”

Disiarkan pada: April 9, 2020 @ 2:24pm
d