arena

Fauzi selesa di Sarawak

Oleh Mohd Rafi Mamat

SEBELUM ini tidak pernah terfikir untuk berkelana jauh hingga ke Sarawak namun kerana ingin meneruskan kerjaya bola sepak profesional tawaran Bujang Senang diterima musim ini.

Ini diakui bekas pemain kebangsaan Mohd Fauzi Rozlan atau Kojie yang kini semakin selesa beraksi dengan pasukan Sarawak United bergandingan dengan barisan tempatan dan import.

Mohd Fauzi yang sebelum ini beraksi dengan Pahang, Kelantan dan Melaka berkata, dia kini semakin serasi dengan skuad Bujang Senang selepas beberapa bulan menjalani latihan sertai bersaing dalam saingan Liga Perdana musim ini.

Katanya, selepas mengharungi empat perlawanan, Sarawak United kini menduduki tangga ke sembilan dengan memungut empat mata, walaupun kedudukan berkenaan kurang selesa namun ia tidak mustahil akan berubah apabila saingan Liga Malaysia (Liga M) kembali bermula.

“Dengan kesungguhan tinggi barisan pemain, saya yakin pasukan Sarawak United boleh berada di kedudukan lebih selesa sekiranya kesungguhan memburu kemenangan pada setiap perlawanan selepas ini dapat dipamerkan barisan pemain yang masing-masing memiliki kelebihan tersendiri.

“Rentak kekuatan pasukan tetap ada namun hanya nasib sahaja yang masih tidak menyebelahi pemain, saya berharap kejayaan akan jelma selepas ini,” katanya yang berasal dari Pekan, Pahang.

Mengenai cabaran mengharungi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), beliau berkata, walaupun sedikit tertekan namun dia menerima dengan hati yang terbuka keputusan dibuat kerajaan bagi menyelamatkan rakyat.

Mohd Fauzi menambah, setiap hari dia meluangkan masa dua jam untuk mengadakan latihan di rumah bagi mengekalkan kecergasan, pelbagai teknik latihan ringan yang sesuai dilakukan.

“Saya perlu terus kekal cergas dan bertenaga bagi memastikan peluang berada dalam kesebelasan utama pasukan sentiasa terbuka luas, saya perlu buktikan kepada jurulatih serta peminat setia Bujang Senang bahawa kudrat saya masih kuat.

“Banyak masa saya berada di rumah, untuk menghilang rasa bosan pelbagai aktiviti dilakukan bagi mengisi masa terluang,” katanya yang berharap masyarakat tidak keluar rumah bagi memutuskan rangkaian virus Covid-19.

Disiarkan pada: April 9, 2020 @ 6:30pm
d