arena

Atlet badminton tidak culas

Oleh Syazwan Msar

BERADA pada kedudukan elit dan bertaraf antarabangsa mendorong semua atlet badminton mengikuti latihan khas sempena Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara konsisten tanpa ‘culas’ atau sambal lewa.

Setiausaha Agung Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Kenny Goh berkata, semua atlet badminton mengikut latihan yang direncanakan oleh Majlis Sukan Negara (MSN) demi memastikan prestasi mereka berada pada tahap optimum.

Beliau berkata, patuh dan komited pada latihan yang sudah disediakan itu amat penting berikutan prestasi mereka boleh merudum sekali gus berhadapan masalah pada masa akan datang.

“Semua atlet bertangunggjawab dan komited dengan latihan yang diberikan sempena PKP kerana mereka mengetahui jika gagal mengikuti pasti menyebabkan prestasi terganggu seterusnya peluang beraksi di pentas antarabangsa mungkin tiada.

“Pada masa sama, kita juga memantau tahap kesihatan mereka dan tidak membenarkan keluar ke tempat awam bagi mengelak terkena jangkitan COVID-19,” katanya, ketika dihubungi Arena Metro, di sini.

Selain itu, Kenny berkata, BAM tidak akan membuat rayuan penangguhan penggunaan bulu tangkis sintetik pada tahun depan selepas temasya Olimpik 2020 ditunda.

“Rayuan itu hanyalah pendapat peribadi pihak tertentu kerana kita ada perkara lebih penting yang harus dilakukan selain berbuat demikian.

“Sekarang ini, adalah bagi memastikan prestasi pemain sentiasa konsisten dan bersedia menghadapi kejohanan besar pada tahun depan.

“Keputusan penggunaan bulu tangkis itu sudah diputuskan oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF) dan tiada masalah untuk mengikutinya,” katanya.

Disiarkan pada: April 9, 2020 @ 10:36pm
d