arena

Terbuka Perancis mampu jadi penyelamat

Oleh AFP

PENGERUSI Persatuan Tenis Profesional (ATP), Andrea Gaudenzi berharap saingan tanah liat dan Terbuka Perancis mampu dilangsungkan September depan sekali gus mampu menyelamatkan musim suram berikutan pandemik Covid-19.

“Jika kita berjaya memulakan aksi Ogos ini kita akan menyelamatkan tiga aksi Grand Slam dan enam saingan Masters 1,000 atau tiada langsung kalau kes ini terus meningkat.

“Kami sedang mengkaji sebarang kemungkinan bagi aksi empat minggu di gelanggang tanah liat selepas Terbuka Amerika Syarikat, dengan Madrid dan Rome sebelum Roland Garros,” kata Gaudenzi.

Saingan tenis terpaksa dihentikan sejak awal bulan lalu dan ia dijangka tanpa sebarang kejohanan sehingga 13 Julai sehingga menyebabkan aksi Wimbledon terpaksa dibatalkan buat kali pertama sejak Perang Dunia Kedua.

Keputusan untuk membatalkan kejohanan tenis tertua dan Grand Slam paling berprestij itu diikuti dengan penangguhan Terbuka Perancis yang selalunya diadakan antara Mei hingga Jun, diubah kepada September hingga Oktober.

“Sekarang kami sedang kerja bersama-sama dan tenis memerlukan kesepakatan,” kata Gaudenzi, 43, yang mengetuai ATP sejak Januari lalu.

Disiarkan pada: April 10, 2020 @ 12:06am
d