arena

Real Madrid mampu penuhi impian Mane

Oleh Agensi

SADIO Mane perlu meninggalkan Liverpool bagi memenuhi impian meraih Ballon d'Or, anugerah individu paling berprestij, menurut bekas rakan sepasukan antarabangsa Senegal, Diomansy Kamara.

Mane menduduki tempat keempat pada anugerah 2019 dan ketika ditemuramah The Times semalam, dia menegaskan impian untuk menjadi pemain kedua dari Afrika selepas George Weah menjulang Ballon d'Or pada 1995 .

Bagaimanapun, Kamara yang tujuh tahun mewarnai bola sepak British bersama Fulham, Leicester City dan Celtic bimbang hasrat Mane gagal direalisasikan di Anfield.

"Jika Mane suatu hari mahu memenangi Ballon d'Or, dia perlu tinggalkan Liverpool kerana kelab itu bukan yang terbaik untuknya walaupun mempamerkan prestasi hebat,” kata Kamara kepada ESPN.

"Dia tidak jauh daripada podium malah bagi saya dia mungkin berhak memenanginya tahun ini. Sekarang dia perlu bekerja lebih keras dan mungkin perlu menukar kelab.”

Kamara sedar beberapa kelab ternama cuba memancing pemain berusia 27 tahun itu tetapi dia lebih suka pemenang Kasut Emas Liga Perdana itu memilih Real Madrid.

"Jadi, kita perlu bercakap mengenai Real Madrid. Gaya permainannya menepati kriteria yang mereka cari dan jika saya ejennya sudah pasti saya membawanya ke Sepanyol.

"Kita semua mengimpikan Mane menyarung jersi Real Madrid dan kita tahu Zinedine Zidane menghargainya tetapi adakah ia menjadi realiti, kita tunggu.”

Disiarkan pada: April 10, 2020 @ 1:04pm
d