arena

Barcelona nafi tuduhan rasuah

Oleh AFP

BARCELONA menafikan tuduhan yang dianggap serius dan tidak berasas selepas bekas naib presiden kelab itu mendakwa seseorang di dalam kelab menyalahgunakan kuasa.

Emili Rousaud adalah salah seorang daripada enam ahli lembaga pengarah yang meletak jawatan Khamis lalu ketika Barcelona berdepan krisis di bawah kepimpinan presiden, Josep Maria Bartomeu.

Kesemua ahli lembaga pengarah yang meletak jawatan mendesak pemilihan presiden pada 2021 dipercepatkan menerusi satu surat bersama yang disiarkan dalam akhbar.

Menerusi temubual dengan radio Sepanyol, Rousaud memperkatakan mengenai kontroversi media soal yang mengejutkan kelab Februari lalu apabila Barcelona dituduh melantik sebuah syarikat dikenali sebagai I3 Ventures untuk menangkis serangan musuh Bartomeu di dalam talian termasuk pemain seperti Lionel Messi dan Gerrard Pique.

“Jika juruaudit memberitahu kami kos perkhidmatan mereka adalah 100,000 euro (RM470,000) dan kami perlu membayar 1 juta euro (RM4.7 juta), bermakna seseorang sudah menyalahgunakan kuasa. Saya tidak mempunyai bukti dan tidak boleh memberitahu siapa individu itu,” katanya.

Barcelona membalas kenyataan itu apabila menyatakan: “Berhubung tuduhan serius dan tidak berasas yang dilakukan oleh bekas naib presiden kelab, Emili Rousaud di dalam temuramah berbeza dengan media, Barcelona menafikan sebarang aktiviti yang digambarkan sebagai rasuah dan berhak untuk mengambil tindakan undang-undang.

Bartomeu menamatkan kontrak I3 Ventures pada Februari lalu. Beliau berkata syarikat itu dilantik hanya untuk memantau hantaran di media sosial dan mengumumkan audit dalaman untuk menyiasat sebarang perkara yang melanggar peraturan.

Rousaud dilantik sebagai naib presiden pada Januari lalu dan dilihat calon paling tepat menggantikan Bartomeu yang tidak boleh lagi mempertahankan jawatannya itu pada pemilihan presiden tahun depan.

Bagaimanapun Rousaud mengambil keputusan meletak jawatan bersama lima lagi naib presiden apabila mendakwa kecewa dengan pengurusan kelab.

Disiarkan pada: April 11, 2020 @ 7:14am
d