arena

Uji pemain dulu, baru sambung liga

Oleh AFP

KETUA Eksekutif Persatuan Pengurus Liga, Richard Bevan berkata, liga Inggeris hanya boleh bersambung semula jika kesemua pemain menjalani ujian saringan pandemik Covid-19.

“Ujian perlu dilakukan terdahulu kepada pekerja dan pesakit di Pusat Kesihatan Nasional (NHS).

“Apabila semuanya selesai, ujian kemudian mungkin boleh diperluaskan ke atas acara sukan,” katanya.

Aksi liga sudah tertangguh selama sebulan berikutan virus itu yang sudah meragut hampir 9,000 nyawa di Britain.

Liga Bolasepak percaya mereka mampu menamatkan musim ini dengan hanya 56 hari apabila ia kembali bersambung semula.

“Kita tidak akan memperoleh gambaran tepat bilakah akan dapat kembali semula beraksi sehinggalah pada hujung April.

“Di Jerman, jika anda melihat kepada perbincangan untuk kembali menyambung liga pada Mei, ia mungkin disebabkan langkah kerajaan yang jelas kerana mereka melakukan 50,000 ujian setiap hari.

“Di negara ini, kita melakukan 10,000 ujian setiap hari meskipun kerajaan mensasarkan sebanyak 100,000 ujian setiap hari pada hujung bulan ini.

“Pengurus pasukan tidak mahu kembali beraksi kecuali selepas pemain menjalani ujian saringan,” kata Bevan.

Kelab di Liga Kejuaraan, Liga Satu dan Dua menerima surat daripada Liga Bolasepak minggu ini yang menyatakan badan induk itu berharap dapat menamatkan saingan musim ini di sebalik krisis pandemik yang masih berterusan.

Disiarkan pada: April 11, 2020 @ 9:38am
d