arena

West Ham tangguh gaji pemain

Oleh AFP

BARISAN pemain kelab Liga Perdana Inggeris, West Ham bersetuju dengan penangguhan pembayaran sebahagian daripada gaji mereka ketika pandemik Covid-19 manakala gaji pengurus, David Moyes dipotong sebanyak 30 peratus.

Tindakan itu hadir sehari selepas Southampton melakukan langkah sama ke atas pemain ketika kelab bergelut dengan masalah kewangan akibat Covid-19 yang menyaksikan aksi liga sudah tertangguh selama sebulan.

“Penjimatan yang dilakukan daripada kaedah ini akan membantu seluruh infrastruktur kelab dan membolehkan kami mengekalkan dan membayar 100 peratus gaji kakitangan,” kata West Ham dalam satu kenyataan.

Pengerusi kelab, David Sullivan dan David Gold yang juga sebahagian pemegang saham turut bersetuju untuk menyuntik dana sebanyak £30 juta (RM160 juta) kepada kelab.

Naib pengerusi, Karren Brady dan pengarah kewangan, Andy Mollett juga bersetuju dengan pemotongan 30 peratus daripada gaji mereka sama seperti Moyes.

Kapten West Ham, Mark Noble yang menjadi watak penting kepada pelancaran #PlayersTogether iaitu satu inisiatif untuk mengumpulkan dana kepada Pusat Kesihatan Nasional (NHS) berkata, dia gembira kerana pemain dan kelab mencapai persetujuan bersama.

“Sebagai pemain kami sering mengadakan perbincangan bersama kelab sejak bermulanya isu Covid-19 dan saya berbangga seluruh pasukan menyatakan sokongan untuk membantu mereka yang lebih memerlukan ketika kita melalui tempoh sukar ini.

“Di West Ham United, kita adalah sebuah pasukan dan keutamaan kami membantu kelab bagi memastikan kakitangan mendapat 100 peratus gaji mereka ketika kami tidak dapat turun beraksi,” katanya.

Disiarkan pada: April 11, 2020 @ 10:31am
d