arena

Aksi golf tanpa penonton?

Oleh AFP

JELAJAH US PGA sedang mempertimbangkan beberapa senario untuk siri kejohanan itu dilangsungkan ketika pandemik Covid-19 termasuklah beraksi tanpa penonton.

Menerusi memo kepada pemain, pihak penganjur mensasarkan untuk kembali dengan kejohanan Charles Schwab Challenge yang dijadual berlangsung pada 21 Mei di Colonial Country Club di Fort Worth, Texas.

US PGA menangguhkan saingan musim ini selepas berakhir pusingan pertama di Players Championship bulan lalu sehinggalah saingan Byron Nelson Championship yang dijadual berlangsung dari 7 hingga 10 Mei.

ESPN melaporkan US PGA dijangka akan mengumumkan lebih banyak pembatalan kejohanan pada minggu depan.

Pemain dimaklumkan menerusi memo itu bahawa pihak penganjur berharap dapat menganjurkan siri jelajah semaksimum mungkin.

Pihak penganjur memberitahu pemain bahawa mereka bergantung kepada nasihat daripada pihak kesihatan dan kerajaan sebelum memutuskan untuk menyambung semula saingan musim ini.

Sekiranya masih lagi tidak boleh menganjurkan kejohanan pada Mei, maka kejohanan Colonial Country Club akan ditangguhkan pada 11 hingga 14 Jun, mengambil alih tarikh kejohanan Terbuka Kanada yang sudah pun dibatalkan.

“Kami memahami kebanyakan daripada anda terkesan dengan kekangan pergerakan yang mejejaskan sesi latihan di tempat anda. Kami akan memberi masa secukupnya untuk membolehkan anda kembali semula dengan persiapan rapi,” kata memo itu.

Disiarkan pada: April 11, 2020 @ 1:03pm
d