arena

Terima hakikat tak dapat gaji

Oleh Mohd Rafi Mamat

WALAUPUN pahit untuk diterima namun pemain perlu bersedia menerima kenyataan episod bayaran gaji mereka akan berakhir apabila saingan Liga Malaysia (Liga M) terpaksa melabuhkan tirai lebih awal.

Tidak mungkin majikan atau persatuan bola sepak negeri termasuk kelab sanggup membayar gaji pemain sedangkan sumber pendapatan hasil jualan tiket perlawanan kini tidak lagi dapat diraih.

Bekas pemain pertahanan kebangsaan, Datuk Jamal Nasir Ismail berkata, majikan tidak mungkin dapat membantu pemain dalam jangka masa panjang terutama membabitkan perbelanjaan yang besar setiap bulan.

Katanya, walaupun kontrak pemain masih lagi berbaki namun dalam kes ini kontrak mereka bila-bila masa boleh terbatal disebabkan faktor bencana walaupun tanpa persetujuan pemain itu sendiri.

Justeru menurutnya, penyelesaian secara profesional perlu dilakukan dengan cara duduk berbincang antara pemain dan majikan, selagi kata putus tidak dapat dicapai jalan penyelesaian tidak mungkin dapat dicapai.

“Mungkin terdapat majikan yang prihatin terhadap nasib pemain mereka akan membuat bayaran separuh gaji selama tiga bulan bermula Mac namun itu bergantung kepada sumber kewangan semasa.

“Bagi yang sumber kewangan tidak kukuh, mereka pasti tidak dapat membela nasib pemain walaupun tersemat perasaan terkilan di hati pihak pengurusan kerana gagal membantu.

“Dalam keadaan sekarang saya tidak menolak kemungkinan terdapat pemain yang tidak menerima gaji penuh daripada majikan disebabkan sumber kewangan yang terlebih dahulu susut secara mendadak,” katanya, di sini hari ini.

Beliau berkata, semua pihak tidak pernah menyangka wabak Covid-19 yang melanda negara mengubah segalanya dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan kerajaan sejak 18 Mac terpaksa dihadapi walaupun begitu perit untuk dilalui.

Disiarkan pada: April 11, 2020 @ 2:07pm
d