arena

Utamakan keselamatan, nyawa - Ramli

Oleh Nazri Abu Bakar

BEKAS pemain Olimpik 1980, Ramli Junit menyarankan Liga Malaysia ditangguhkan selepas wabak Covid -19 yang melanda negara masih belum berjaya diputuskan sepenuhnya setakat ini.

Baginya jika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bakal ditamatkan selepas 28 April, langkah pemulihan yang mengambil masa panjang menyaksikan langkah terbaik adalah melupakan liga Malaysia musim ini.

Katanya, Covid 19 adalah isu lebih besar daripada bola sepak yang membabitkan keselamatan dan nyawa setiap individu tanpa mengenal usia, bangsa dan agama.

“Faktor keselamatan dan kesihatan pemain, pegawai pasukan dan semua penonton terjamin adalah perlu menjadi keutamaan dalam situasi wabak yang melanda bukan setakat di Malaysia malah seluruh dunia.

“Jika liga diteruskan juga tanpa penonton tetap diadakan, mampukah untuk kita mengawal situasi jangkitan terbabit daripada berlaku kepada setiap individu dan penggiat bola sepak, walaupun langkah-langkah khas disusun teliti bagi membendung wabak itu diberi perhatian sewajar dan agresif sekalipun,”katanya.

Ramli berkata, dia yakin, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) memiliki penelitian yang wajar untuk memastikan langkah penyelesaian dalam perkara berkenaan.

Beliau berkata, langkah kerajaan meneruskan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) jelas bukti penting bahaya rantaian Covid-19 berada di tahap membimbangkan buat masa ini.

Malah baginya, arahan kerajaan dalam masa enam bulan hingga setahun selepas pandemik tidak boleh diadakan sebarang perhimpunan dan majlis menandakan, kemungkinan perlawanan diadakan tanpa penyokong, risiko tetap perlu diambil kira dalam banyak aspek termasuk jangkitan dan sumber kewangan persatuan.

Menurutnya, sememangnya semua aktiviti sosial, ekonomi dan kemasyarakatan terjejas walaupun ianya sukar dipercayai termasuk dalam kalangan penggiat, pemain dan pegawai pasukan namun demi keselamatan, justeru perkara ini perlu di beri perhatian serius.

Dalam masa sama beliau melihat perbincangan antara persatuan, pegawai dan pemain untuk menyelesaikan masalah susulan akibat Covid-19 terutama gaji perlu dilakukan dengan profesional dan mengambil kira semua aspek.

Disiarkan pada: April 11, 2020 @ 8:22pm
d