arena

Pemain menanti sebarang kemungkinan

Oleh Mohd Amin Jalil

“SEBAGAI pemain profesional, kita perlu akur terhadap sebarang kemungkinan yang mungkin berlaku terhadap Liga Malaysia (Liga-M) musim ini,” kata penyerang muda Selangor, Sean Eugene Selvaraj.

Bekas pemain Negeri Sembilan berusia 23 tahun itu berkata, rata-rata pemain ketika ini menunggu dengan penuh debar mengenai kedudukan mereka dalam pasukan dan kelab yang disertainya.

Katanya, ini susulan ada kemungkinan Liga-M musim ini tidak dapat diteruskan seperti dirancang berikutan wabak Covid-19 yang melanda negara dan lebih 135 buah negara di dunia.

“Memang keputusan mengenai kedudukan Liga-M musim ini akan ditentukan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bersama Liga Bolasepak Malaysia (MFL).

“Sehingga kini kita tidak pasti sama ada peluang untuk meneruskan aksi dalam liga atau sebaliknya dan semua pemain menanti dengan penuh debar terhadap keputusan yang akan dibuat badan induk bola sepak negara serta pengendali liga itu.

“Apapun situasinya, sebagai pemain sudah pasti akan ada kekhuatirannya terutama soal gaji kerana majikan sudah pasti akan menilai semula kedudukan itu apabila tiada perlawanan diadakan atau Liga-M terhenti kerana wabak ini,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Isu kedudukan Liga-M musim ini menjadi polemik antara tokoh dan peminat sukan tanah air apabila penularan wabak Covid-19 masih belum reda sepenuhnya sehingga memaksa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilanjutkan sehingga 28 April.

Menurut Eugene, jika situasi itu berlaku sudah tentu memberi kesan kepada pemain terutama mereka yang berkeluarga.

“Bagi saya yang masih bujang mungkin tidak begitu terasa tetapi bagi pemain yang mempunyai keluarga untuk ditanggung, sudah tentu terkesan dan memerlukan perancangan rapi,” katanya.

Bekas pemain skuad bawah 23 tahun negara itu berkata, setakat ini gajinya sehingga Mac lalu bersama pasukan Selangor masih dibayar penuh, namun tidak pasti untuk bulan berikutnya.

Dia bagaimanapun katanya, sehingga kini tiada maklumat atau perbincangan mengenai soal gaji pemain oleh majikannya sekali gus melegakan semua pemain.

“Ketika ini, saya dan rakan yang lain dalam pasukan Selangor masih meneruskan latihan di rumah masing-masing berpandukan jadual diberikan oleh ketua jurulatih sepanjang tempoh PKP ini.

“Sebagai pemain, sudah tentu mengharapkan sesuatu yang terbaik buat semua pemain dalam pasukan Selangor khususnya dan Liga-M, umumnya,” kata Eugene.

Disiarkan pada: April 11, 2020 @ 9:31pm
d