arena

MSN cari jalan terbaik

Oleh Aida Adilah Mat

MAJLIS Sukan Negara (MSN) akan mencari jalan terbaik untuk membantu atlet di ketika Perintah Kawalan Pegerakan (PKP) berlangsung.

Antara yang dikenal pasti adalah bantuan alatan latihan yang diperlukan oleh atlet untuk menjalani latihan di rumah masing-masing.

Pengarah Bahagian Atlet (MSN) Jefri Ngadirin berkata, bagaimanapun MSN berdepan dengan kesukaran untuk menghantar barang berkenaan berikutan kawasan perumahan atlet yang berlainan selain alatan yang terhad.

“Buat ketika ini kami sedang memikirkan cara terbaik membantu atlet dan mempertimbangkan untuk menghantar alatan latihan yang diperlukan mereka.

“Bagaimanapun ketika ini keutamaan mungkin akan diberikan kepada atlet yang membuat persediaan ke Olimpik terlebih dahulu.

“Ini kerana MSN mempunyai lebih dari 400 atlet dengan lokasi yang berterabur jadi untuk permulaan mungkin atlet Olimpik akan diberikan keutamaan dan selepas itu baru kami fikirkan langkah seterusnya,” katanya.

Semalam, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan tempoh PKP dilanjutkan untuk 14 hari lagi dan itu bermakna atlet tidak dibenarkan kembali ke MSN untuk menjalani latihan.

Jefri bagaimanapun meminta untuk atlet lebih kreatif menggunakan alatan yang ada di rumah antaranya seperti tong gas, tangga, tilam dan lain-lain lagi.

Disiarkan pada: April 11, 2020 @ 10:50pm
d