arena

Akmarulnizam tidak sabar sambung aksi

KAPTEN Pahang Rangers, Akmarulnizam Idris meletakkan harapan tinggi mahu melihat penularan wabak Covid-19 segera reda dan tiada lagi lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan oleh kerajaan selepas 28 April nanti.

Meskipun sedar PKP berpotensi dilanjutkan berdasarkan kepada statistik semasa, Akmarulnizam berpendapat sekiranya semua pihak memainkan peranan dan menunjukkan kesedaran dengan mengikut arahan ditetapkan kerajaan, tidak mustahil Malaysia akan dapat memerangi penularan wabak yang diisytihar sebagai pandemik global itu dalam tempoh terdekat.

“Saya yakin tiada siapa mahu berkurung untuk tempoh lama, lebih-lebih lagi kami sebagai pemain. Walaupun tetap menjalani latihan, ia sesuatu yang janggal untuk berlatih sendirian dan ia juga tidak sama dengan latihan di gelanggang.

“Kalau untuk sementara tiada masalah tetapi jika terlalu lama, susah juga nak memastikan fizikal dan mental dalam keadaan terbaik.

“Kita juga perlu sedar bahawa apabila kemelut Covid-19 sudah berakhir, kita bukan boleh terus turun berlatih, akan mengambil masa untuk memastikan semuanya betul-betul selamat. Jadi patuhilah semua arahan, kita sama-sama membantu kerajaan dan ‘frontliner’, saya percaya kita boleh memenangi peperangan ini jika semua bersatu hati,” ujar Akmarulnizam.

Sebagai rekod, statistik semasa pada 11 April, sebanyak 184 kes baru Covid-19 dilaporkan menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 4,530 kes di seluruh negara.

Sementara itu, bercakap mengenai prestasinya ketika menentang Sarawak dalam aksi sulung Malaysia Premier Futsal League (MPFL 2020) yang mendapat pujian Ketua Jurulatih Gerard Casas, ini reaksi pemain berusia 29 tahun itu yang juga pemenang pingat perak Sukan Sea 2017.

“Ia adalah perlawanan penuh pertama saya selepas 18 bulan. Saya tersisih sepanjang pusingan kedua LFK 2018 kerana kecederaan pangkal paha.

“Tahun lepas saya alami kecederaan ACL seawal perlawanan pertama dan terlepas keseluruhan musim. Saya gembira untuk kembali beraksi dan membalas kepercayaan jurulatih dengan aksi bertenaga. Diharap ini menjadi permulaan baru dalam karier saya,” katanya

Pada perlawanan yang berlangsung 14 Mac lalu, Pahang Rangers menewaskan Sarawak 9-1 dengan Akmarulnizam menjaringkan satu gol dan mencipta hantaran menghasilkan jaringan.

Disiarkan pada: April 11, 2020 @ 11:29pm
d