arena

Satu lagi kejohanan tenis ditangguhkan

Oleh AFP

KEJOHANAN WTA Montreal, salah satu acara menjelang Terbuka Amerika Syarikat, ditangguhkan sekali gus tidak akan berlangsung sehinggalah 2021.

Kejohanan itu yang dijadual berlangsung dari 7 hingga 16 Ogos, mula mencetuskan persoalan selepas kerajaan Quebec meminta kesemua acara sukan dan kebudayaan dibatalkan sehingga 31 Ogos bagi mengurangkan penularan wabak Covid-19.

“Susulan langkah yang dilakukan oleh kerajaan Quebec untuk tidak membenarkan sebarang acara dianjurkan sehingga 31 Ogos, Rogers Cup di Montreal akan ditangguhkan sehingga 2021.

“WTA sekali lagi ingin menegaskan faktor kesihatan dan keselamatan akan menjadi keutamaan kami. Kami memahami ia adalah keputusan yang sukar dan kami akan kembali di Montreal pada 2021,” kata WTA dalam satu kenyataan.

Pengarah kejohanan, Eugene Lapierre berkata, keputusan untuk membatalkan kejohanan itu adalah demi kebaikan mereka.

“Ketika krisis awal Covid-19, kami berharap situasi akan dapat diatasi bagi membolehkan kami menganjurkan kejohanan ini seperti yang dirancang di dalam kalendar perlawanan.

“Dengan berat hati kami menerima berita ini tetapi kami memahami ia adalah keputusan yang wajar dilakukan.

“Kami akan terus bekerja keras dalam tempoh beberapa bulan akan datang untuk menjadikan kejohanan yang berlangsung tahun depan lebih baik dan meriah,” kata Lapierre.

Disiarkan pada: April 12, 2020 @ 10:19am
d