arena

Jawapan saya masih sama - Tok Mat

Oleh Malik Muhamad

TARIKH Liga Sepaktakraw Malaysia (STL) masih kekal. Ini reaksi Presiden Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM), Datuk Seri Ahmad Ismail.

Beliau berkata demikian ketika ditanya adakah tarikh saingan STL akan ditunda atau sebaliknya susulan lanjutan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga 28 April ini bagi membendung penularan wabak Covid-19.

Beliau yang memegang jawatan itu sejak 17 tahun lalu berkata, saingan STL yang dijadualkan berlangsung di Kelantan pada minggu pertama dan kedua bermula 15 Ogos depan tetap akan diteruskan tanpa sebarang perubahan jadual.

Bagaimanapun beliau berkata, sekiranya kerajaan memutuskan hanya membenarkan kejohanan berlangsung tanpa kehadiran penyokong, PSM tidak akan meneruskan liga itu sehinggalah wabak itu pulih sepenuhnya dengan membenarkan kehadiran penonton.

“Jawapan saya masih sama, sekiranya PKP ditamatkan dan rantaian Covid-19 dapat diputuskan serta tidak lagi menular, insyaAllah kita akan teruskan tarikh saingan STL ini yang turut disertai pemain import sebagaimana musim lalu.

“Lagipun setakat hari ini belum ada lagi permintaan daripada Ahli Gabungan PSM, Persatuan Sepaktakraw Negeri ataupun pemain meminta untuk menangguhkan atau mengubah tarikh asal kejohanan itu.

”Namun begitu sekiranya Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) membenarkan kita meneruskan liga tapi tidak membenarkan kehadiran penonton, kita tidak berhasrat untuk meneruskan kejohanan itu.

”Ini kerana sekiranya KKM tidak benarkan kehadiran penonton, itu membawa erti yang keadaan belum selamat lagi dan pulih sepenuhnya.

”Perlu diingat bagi penganjuran STL walaupun tanpa penonton, tapi terdapat jumlah kru yang ramai juga termasuk pengadil seramai 27 orang, juri, pemantau, teknikal termasuk ‘ball picker’, urus setia bersama pengira sistem mata dan statistik, pegawai perubatan dan staf serta kru penerbitan.

”Inipun sudah melebihi 100 orang tidak termasuk pemain, jurulatih dan pengurus, jadi tidak dapat tidak liga juga tidak boleh diadakan meskipun KKM benarkan tanpa penonton,” ujar Ahmad yang meletakkan harapan tinggi sambil menggesa masyarakat mendoakan agar wabak pandemik Covid-19 dapat reda dengan seberapa segera.

Disiarkan pada: April 12, 2020 @ 6:25pm
d