arena

PLBNS sempat buat persiapan rapi

Oleh Mohd Amin Jalil

PENANGGUHAN temasya Sukan Malaysia (Sukma) Johor 2020 memberi peluang kepada skuad lumba basikal Negeri Sembilan untuk membuat persiapan lebih rapi selepas barisan pelumba yang disenaraikan membabitkan tonggak muda.

Timbalan Presiden Persatuan Lumba Basikal Negeri Sembilan (PLBNS), Yunus Ibrahim berkata, daripada lapan pelumba yang disenaraikan bagi menggalas cabaran pasukan hanya Abdul Azim Aliyas, 18, yang memiliki pengalaman di pentas antarabangsa.

Katanya, Abdul Azim antara pelumba muda berbakat dan mempunyai masa depan cerah selepas dia memenangi pingat perak dalam acara trek pada Kejohanan Berbasikal Asia (ACC) di Jakarta 2018.

“Pada perancangan awal sememangnya Abdul Azim menjadi taruhan terbaik buat skuad lumba basikal Negeri Sembilan untuk meraih pingat di temasya Sukma di Johor.

“Manakala tujuh pelumba lagi adalah barisan muda yang belum memiliki pengalaman luas termasuk di peringkat domestik kerana mereka adalah sebahagian pelumba pelapis yang dibentuk dan dilahirkan menerusi program pembangunan PLBNS untuk jangka panjang.

“Hakikatnya tujuh pelumba itu belum mencapai tahap tertinggi dari segi prestasi dan memerlukan bimbingan lanjut daripada jurulatih untuk mereka mencapai tahap yang mampu bersaing pada Sukma nanti.

“Dengan penangguhan temasya berprestij itu, akan memberi peluang kepada skuad lumba basikal negeri ini untuk melakukan persiapan lebih rapi bagi memastikan kesemua pelumba mampu melakar kejutan atau meraih pingat pada temasya itu nanti,” katanya di sini, hari ini.

Pada 25 Mac lalu, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mengumumkan Sukan Malaysia (Sukma) Johor 2020 ditangguhkan susulan penularan Covid-19.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican menjelaskan tarikh baharu temasya dwitahunan itu dijangka akan diputuskan selewat-lewatnya pada awal Mei depan.

Mengulas lanjut, Yunus berkata, ketika ini pelumba Negeri Sembilan menjalani latihan di rumah masing-masing kerana mematuhi arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan mereka dipantau jurulatih, Mohamad Fairet Rusli.

“Jurulatih sudah menyediakan kaedah latihan khusus sepanjang PKP ini yang bermula 18 Mac lalu yang perlu pelumba lakukan di rumah masing-masing untuk memastikan tahap kecergasan mereka sentiasa baik.

“Setakat ini mereka mengggunakan kaedah kayuhan di atas ‘roller’ sebagai suatu bentuk latihan yang boleh dilakukan susulan keadaan kemudahan terhad kerana PKP,” katanya.

Disiarkan pada: April 12, 2020 @ 7:11pm
d