arena

Penjaga gol skuad England 1966 meninggal dunia

Oleh AFP

BEKAS penjaga gol Chelsea dan England, Peter Bonetti meninggal dunia pada usia 78 tahun selepas sudah lama terlantar sakit.

“Semua kami di kelab bola sepak Chelsea ingin menyampaikan berita sedih mengenai kematian bekas penjaga gol hebat, Peter Bonetti, yang melakukan 729 penampilan bersama The Blues,” jelas kelab berkenaan dalam satu kenyataan.

Pemain yang terkenal dengan nama samaran ‘The Cat’ itu dikenali dengan ketangkasannya ketika mengawal gawang kelab London barat itu selama hampir 20 tahun ketika era 1960-an dan 1970-an.

Bagaimanapun, kariernya dibayangi dua lagi legenda penjaga gol England, Gordon Banks dan Peter Shilton, menyaksikan dia hanya tujuh kali melakukan penampilan bersama Three Lions.

Dia juga berada dalam skuad England yang meraih kejuaraan Piala Dunia 1966 namun disebabkan Banks berada di puncak prestasi Bonetti tidak beraksi di kejohanan berkenaan.

Antara penampilan Bonetti paling diingati ketika bersama England ialah empat tahun kemudian di Piala Dunia Mexico 1970 apabila dia diminta menggantikan Banks yang keracunan makanan.

Bagaimanapun, England tumpas 2-3 ketika berdepan Jerman Barat di suku akhir walaupun skuad bimbingan Alf Ramsey mendahului 2-0 dan Bonetti dikritik kerana dua gol awal pasukan lawan berpunca daripada kesilapannya.

Di peringkat kelab Bonetti membantu Chelsea muncul juara Piala Liga pada 1965, Piala FA 1970 dan Piala Juara Antara Juara Eropah 1971.

Disiarkan pada: April 13, 2020 @ 12:11am
d